Friday, December 18, 2009

4 KALI JUMAAT

السلام عليكم

Hari ini 1 Muharram 1431H...Alhamdulillah Allah beri peluang kepada kita melepasi tahun 1430H dan kini berkesempatan menjengah tahun 1431H, selamat menyambut tahun.

Setelah sekian lama tidak memasukkan entry dan berkongsi sebarang input, hari ini tergerak hati dan jari-jemari untuk menulis sesuatu. Tiada yang besar tiada yang gempar tapi saya kira ia sesuatu yang menarik untuk direnung.

Sedar atau tidak, kita melalui dua perayaan dan 2 kali hari pertama tahun baru jatuh pada hari Jumaat;

#1- Aidul Adha - Jumaat 27 Nov.
#2- Krismas - Jumaat 25 Dis.
#3- 1 Muharram 1431H - Jumaat 18 Dis
#4- 1 Januari 2010 - Jumaat (15 Muharram)

Inilah "kebetulan" yang ditaqdirkan Allah sejak azali yang hanya Dia mengetahui hakikat dan rahsianya. Tapi apa yang pasti, hari terakhir kewujudan alam ini iaitu Yaumul Akhirah akan berlaku pada hari Jumaat . Demikianlah dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W.

Fikir...renung...insaf dan berHIJRAHlah.

Semoga kita diberi taufiq untuk lebih beramal solih dan kurang mungkar dan lagha pada tahun baru dan seterusnya sejajar dengan bertambahnya usia serta berkurangnya tempoh hayat.

Thursday, August 27, 2009

"AHLAN YA RAMADHAN"

Saturday, August 22, 2009

TAZKIRAH RAMADHAN - 1

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah...Allah memberi peluang kpd kita bertemu kembali bulan barakah, Ramadan. Dengan penuh sedar dan insaf kita bersyukur kpdNya kerana menyedari ramai yang tidak berpeluang...mereka menemui ajal...menemui Allah. Atas kesedaran itu, kita berazam untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini, mengisi Ramadan dengan melipatgandakan amal; solah nafilah (sunat) tilawah, zikrullah, sadaqah... yang dipacu oleh iman serta dengan hati yang ikhlas (imanan wahtisaban).

Renungilah beberapa pesanan warisan Nabi s.a.w;

Daripada Abi Hurairah r.a. baginda bersabda: "Ramadan telah datang kepada kamu, bulan barakah telah datang kepada kamu, yang mana Allah mewajibkan kamu berpuasa. Pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan dibelenggu syaitan-syaitan. Pada bulan itu ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang daripada kebaikannya maka sesungguhnya dia terhalang (rugi)".

Ibnu 'Umar menyampaikan sabda Nabi s.a.w.“Sesungguhnya syurga sentiasa berhias untuk menyambut Ramadan sejak hari pertama tahun tersebut sehingga tahun berikutnya. Pada setiap hari pertama Ramadan, angin di bawah ‘Arasy akan bertiup melalui bukit-bukit syurga ke arah para bidadari, lalu merekapun berkata: Ya Tuhan, jadikanlah bagi kami daripada kalangan hamba-hambaMu suami-suami yang akan sejuk mata kami dan mata mereka juga sejuk dengan kami (saling membahagiakan)”. (al-Baihaqi)
Abu Sa’id al-Khudri berkata Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Pada malam pertama Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan tiada satupun pintu yang ditutup kembali sehingga malam terakhir Ramadan. Tidaklah seorang mukmin yang bersolat pada malamnya melainkan Allah menuliskan baginya 1500 kebaikan untuk setiap sujudnya, Allah membina untuknya sebuah rumah di syurga daripada permata yaqut merah yang mempunyai 60,000 pintu dan setiap pintunya mempunyai istana yang terbuat dp emas yang dibaluti permata yaqut merah. Apabila dia berpuasa pd hari pertama Ramadan maka akan diampuni dosanya yg telah lalu hingga hari itu. Sesiapa hidup pd bulan Ramadan maka 70,000 malaikat akan memohon ampun untuknya setiap hari sejak solat Subuh sehingga terbenam matahari. Setiap sujud pada waktu siang atau malam bulan Ramadan akan dibalas dg sepohon pokok yang rendang sejauh perjalanan 500 tahun” (al-Baihaqi)

Ustaz Mustafa Masyhur menulis dalam karyanya "Zad 'Ala al-Toriq"; “Betapa gembira dan senang hati menerima limpahan rahmat Allah pd sepanjang Ramadan…mereka memperolehi bekalan dan memperbaharui kecergasan utk meneruskan perjalanan… Hanya orang yang menghayati bulan Ramadan dan berpuasa menurut ajaran Rasulullah s.a.w.akan memperolehi kebaikan seperti itu”

Marilah kita memanfaatkan peluang berada pada bulan Ramadan yang Allah kurniai ini agar kita tidak tergolong dalam kalangan yang baginda sebut sebagai "diharam/dihalang daripada kebaikan Ramadan".

Ya Allah kurniakan taufiq kpd kami agar dapat memperbaiki serta meningkatkan amal soleh kami dan sentiasa ikhlas dalam setiap amal. Ya Allah terimalah daripada kami amal kami yang tidak seberapanya ini.




Sunday, August 16, 2009

Pemandu Teksi: Satu Renungan

Saya ingin berkongsi kisah seorang pemandu teksi yang berpengalaman...sudah lama mendapat lesen dan permit teksi. Dia juga seorang yang amat mengambil berat terhadap prestas enjin, tayar, penggilap cermin dan semua sistem serta alatan teksinya sama ada luaran atau dalaman.

Setiap pagi dan petang dia membasuh teksinya.
Setiap minggu dia memeriksa tayar, signal, air bateri, minyak enjin dan lain-lain.
Setiap 5,000km dia menukar minyak enjin dan penapis minyak.
Pendek kata apa saja yang patut ditukar atau di servis/baiki dia akan lakukan bila sampai masanya. Pemandu/pemilik teksi yang prihatin katakan...

Cuma masalahnya...dia tak konsisten dlm mencari dan membawa penumpang. Kadang-kadang jika dia rajin dan bersemangat dia memandu teksinya ke bandar, putar-putar mencari penumpang.

Satu masalah yang lebih besar ...ada kalanya dia tidak mengambil penumpang, sebaliknya hanya memandu mengikut kehendak hati ke hulu ke hilir. Macam gila kan? Tapi hakikatnya dia waras. Kadang-kadang kelihatan dia mengambil beberapa penumpang. Dia membawa mereka pusing- pusing bandar, singgah minum di warung lepas itu balik semula ke tempat asal di mana penumpang itu diambil. Boleh percaya ke? Itulah realitinya...itulah masalahnya. "Mengabih boreh jo".

Kalau anda berasa pelik...kalau anda sukar nak percaya dan kalau anda kata "mengabih boreh jo", anda seorang yang waras dan saya amat bersetuju dengan anda. Itulah juga yang boleh kita katakan kepada da'i (pendakwah) yang hanya asyik "servis" & gilap diri tapi tak mencari & membawa mad'u (tiada tajmi') atau membawa mad'u dan menggilap mereka tapi tidak menuju ke destinasi yang sewajarnya sekalipun sudah lama bersamanya di dalam teksi dakwah itu (tidak jelas hala tuju dan matlamat). Mereka seolah-olah sekadar dibawa makan angin di lebuhraya dakwah.

Ayuh! Tarbiyah, usrah dan dakwah bukan pusat latihan simulasi atau video game tanpa produktiviti tetapi adalah realiti yang ditangani dengan amanah dan penuh rasa tanggung jawab. Semoga Allah memberkati dan mengganjari anda yang istiqamah menggerakkan tarbiyah dan dakwah dengan ikhlas.

Tuesday, July 28, 2009

Kontang

بسم الله الرحمن الرحيم

Lebih sebulan jari tidak mengetuk papan kekunci 'laptop' untuk memuatkan coretan baru dalam ruangan ini...sungguh berat...seolah-olah jejari ditindih batu, otak pula seolah-olah beku dan kontang. Sedangkan bila sesekali difikir, banyak perkara yang boleh diulas, dikupas dan dicoret.

Apakah itu bebanan yang dihempap oleh syaitan? Apakah itu tarikan nafsu supaya bersenang-senang...bukan memerah otak menyumbang sesuatu untuk kebajikan diri dan orang lain. Atau mungkin kebiasaan dan tabiat lama yang belum berjaya diubah.

Astaghfirullah al-'azim...la haula wala quwwata illa billah.

Monday, July 6, 2009

Sabab Nuzul

بسم الله الرحمن الرحيم
ِ
(وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إذا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم

(al-Ahzab:36)

Menurut Mujahid, Muqatil dan Qatadah ayat ini diturunkan berhubung kisah peminangan Zainab berdasarkan riwayat daripada Ibn 'Abbas r.a.:"Rasulullah s.a.w. meminang Zainab bint Jahsy untuk Zaid bin Harithah r.a. (anak angkat baginda) tapi Zainab menolak dan berkata: "Saya lebih baik keturunan daripadanya"...lalu Allah menurunkan ayat tersebut". Susulan daripada itu, Zainab r.a menerima ketentuan tersebut lalu berkahwin dengan Zaid r.a.
(Petikan dp Tafsir Ibn Kathir, jil. 2)

Demikianlah riwayat berhubung sabab nuzul ayat tersebut.

Berbalik kepada kisah Zainab dan Zaid r.a. Ditakdirkan jodoh mereka tidak berpanjangan. Mungkin juga tiada 'kafaah' antara mereka berdua (tidak sekufu). Zaid menceraikan Zainab dan setelah tamat 'iddah, Rasulullah s.a.w. menikahinya dengan ketentuan Allah. Bahkan dalam surah yang sama (al-Ahzab:37) Allah menyebutnya secara eksplisit "zauwajnakaha..." bererti "kami menikahkan engkau dengannya". Demikianlah Allah menyusun sirah baginda sebagai rujukan hukum kepada umat yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan.

Allahu ta'ala a'lam.






Wednesday, May 13, 2009

Refleksi Forum: "IRADAH ILAHIYAH"

Apa yang meruntun QALBU dan minda saya dalam refleksi berkaitan program forum ini ialah keagungan "iradah Ilahiyah". Apabila saya merenungi menyusuri rentetan dua program penting sebelum forum yang saya terlibat menguruskannya, iradah Ilahiyah ini yang singgah di QALBU saya. Program yang dimaksudkan ialah Karnival KAGUM IPGM Kebangsaan dan Konvokesyen IPGM Kampus Temenggong Ibrahim.

Apakah kaitan program tersebut dengan penganjuran Forum? Saya melihat keterlibatan saya secara langsung dalam kedua-dua assignments itu sebagai susunan Allah
yang memberi peluang kepada saya membina keyakinan dan keupayaan mengurus dan juga menyelaras untuk menghadapi tugas yang lebih besar, Forum Perdana.

Perkara kedua ini pula lebih menyerlahkan hakikat iradah ilahiyah mengatasi perancangan dan hasrat manusia. Dalam perancangan induk 2009 Kampus Temenggong Ibrahim, Majlis Sambutan Maulidur Rasul tahun ini akan dijadikan satu platform atau wadah meningkatkan hubungan dengan komuniti setempat. Untuk itu, Forum Perdana dilihat lebih sesuai. Lanjutan daripada itu, sepucuk surat diutus kepada Pengarah Bahagian Media dan Penyiaran JAKIM dengan menawarkan tarikh 27 Mac tetapi pihak JAKIM tiada kekosongan sehingga hujung Jun. JAKIM mencadangkan 25 Jun. Jika begitu, forum itu tidak lagi sesuai dikaitkan dengan sambutan Maulidur Rasul kerana sudah mencecah bulan Rejab.

Kami berasa agak lega dengan tarikh itu kerana punya lebih masa untuk membuat persediaan terutamanya aspek kewangan. Apa tidaknya,
kos penerbitan Forum melebihi RM80,000 seperti yang diberitahu Penerbit Forum, En. Dzul Hanafiah. Ia meliputi kos "production" dan kos "air-time". Jika dicampur kos jamuan, penyediaan tempat dan lain-lain pasti melebihi RM90K. Kami amat terkejut seperti kata sesetengah orang 'terkejut beruk' bila dengar kos mega tu. Di mana nak digali. Tapi Pengarah saya tetap optimis untuk menganjurkannya, katanya "Ustaz buat kertas kerja, kita cuba mohon daripada BPG, kalau ada rezki nasib baik kita dapat, separuhpun tak apa".

Allah Maha Kaya (al-Ghaniy) lagi Maha Menghendaki. Dia 'menyalurkan' rezkiNya melalui Bank Islam untuk kami menjayakan program dakwah mega seperti yang diberitahu oleh En.
Shahar, Pegawai Pemasaran RTM. Soal ongkos dah 90% selesai dengan iradah Allah sebelum sempat saya menyiapkan kertas kerja dan merangka strategi mencari dana. Itulah iradahNya mengatasi iradah hamba.


Satu perkara lagi, Allah juga telah menyempurnakan hasrat awal kami untuk menganjurkan forum tersebut bersempena sambutan Maulidur Rasul - pada 4 Rabiul Akhir, masih ada bahang Maulid - walaupun pada mulanya JAKIM memberikan tarikh 25 Jun (bulan Rejab). Sesungguhnya Allah memudahkan dan memberi laluan ke arah itu.

Apa yang ironinya,
tarikh baru, 29 April (4 Rabiul Akhir) itu diperolehi secara mendadak semasa kunjungan En. Dzul, En. Shahar ke kampus Temenggong Ibrahim (TI) pada 8 April untuk meninjau lokasi. Sebenarnya hari itu cuti am dan sehari sebelumnya kampus TI baru selesai konvokesyen, tetapi 'kebetulan' Pengarah berada di pejabat kerana ada urusan. Saya tidak melepaskan peluang lalu membawa tetamu-tetamu penting TI bertemu Pengarah. Maka berlangsunglah perbincangan awal yang pada mulanya tidak dirancang dan tidak dijangka berkaitan penganjuran dan persiapan forum termasuklah tarikh baru. Tarikh itu dipilih oleh En. Dzul memandangkan tim teknikal & rakaman luar RTM berada di Plaza Angsana Johor Bahru untuk Minggu Amanah Saham pada minggu yang sama.

Itulah yang dikatakan takdir, apabila Allah menghendaki sesuatu Dia akan menyediakan laluan dan asbab untuk terlaksana takdirnya. Subhanallah wal-hamdu lillah. Kita selaku hambanya yang kerdil yang mukallaf diwajibkan merancang dan berikhtiar sebaik mungkin serta bertawakkal kepadaNya.

Ya Allah, sesungguhnya daku amat bersyukur kepadaMu. Ya Allah, Dikau telah mengabulkan doaku juga doa dan hasrat kami warga kerja kampus Temenggong Ibrahim. Kami menginsafi kekerdilan kami dan keagungan qudrah dan iradahMu.

(Maaf, forum dah lama selesai tapi baru masuk entri ni. Sebenarnya saya ambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya sejak 13 Mei tapi baru selesai pada hari ini 23 Mei)


Monday, May 11, 2009

Refleksi Forum

Assalamu 'alaikum.

Apabila saya mendapat panggilan telefon yang ketiga daripada En. Shahar (RTM) yang memberitahu bahawa Bank Islam sudi menaja sepenuhnya produksi dan penyiaran (air time) Forum,...gumbiranya rasa hati... tak terkira, bak kata orang, senyum bibir sampai ke telinga. Apa tidaknya, soal biaya utama (mencecah RM80K) sudah beres. Dia bertanya , "Macamana ustaz jadi ke nak buat forum kat IPTI?"

Saya fikir sejenak, bukan apa, saya kena beri jawapan yang besar implikasinya sedangkan kata putus sebetulnya pada Pengarah. "Emm...ok lah jadi, jadi, tapi nanti saya tanya Pengarah saya dulu". "`Ala kulli hal, terima kasih, kecik tapak tangan padang IPTI kami tadahkan"

Lepas itu, saya terus mendail nombor HP Pengarah dan menjelaskan kepadanya tawaran tadi. Beliau dengan yakin dan gembira memberi respon, "Ok ustaz, kita terima, jadi jangan tak jadi. IPTI boleh". Maka bermulalah fasa realiti cadangan Forum Perdana di kampus Temenggong Ibrahim.

Sehari dua selepas itu, otak dan qalbu saya membuat refleksi. Menyusuri rentetan peristiwa dan tugas yang saya telah terlibat dalam tempoh dua bulan sebelum tarikh Forum... (bersambung)


Jika anda ingin melihat beberapa foto-foto pada malam Forum sila kunjungi laman aljawahiripti.blogspot.com.

Kalau tak de wajah anda dalam mana-mana foto tu...sabor je le ye.

Saturday, May 9, 2009

Foto Forum (persediaan)


Mesyuarat teknikal bersama Penerbit (JAKIM) , krew teknikal RTM, wakil Bank Islam (penaja utama) serta wakil Majlis Bandaraya Johor Bahru bertempat di Bilik Gerakan Dato Mahpor.
















Krew RTM & pembekal teknikal memasang lampu, 'backdrop' & kamera.










Rehersal nasyid & forum utk menguji sistem pembesar suara, lampu & kamera

Thursday, April 23, 2009

Forum Perdana Ehwal Islam

Assalamu 'alaikum para pembaca dan pengunjung blog.

IPGM Kampus Temenggong Ibrahim, tempat saya menabur bakti & mencari rezki menjadi tuan rumah dan penganjur bersama satu program bualbicara tv yang 'popular' - Forum Perdana Ehwal Islam JAKIM/RTM pada 29 April 2009 bersamaan 4 Jamadil Awal 1430. Rakan-rakan dalam JK Pengelola telah bertungkus-lumus membuat persediaan dalam pelbagai aspek. Guru pelatih juga tak ketinggalan, turut memberi sumbangan tenaga. Ada yang menyusun kerusi ada yang menyiapkan dewan. Sementara kumpulan Nasyid Inspirasi giat berlatih. Alhamdulillah, semua pihak amat koperatif dan bersemangat.

Pada 27 April;
1- Persiapan dewan
2- 10.45 malam : Trailer OB van RTM & genset masuk kampus dan mengambil tempat di sebelah Blok C.

28 April;
1- Kakitangan Lestari (kontraktor RTM) memasang PA System dan peralatan pencahyaan.
2- Pemasangan set pentas; meja dan back-drop.
(Diselaras & dipantau oleh Penerbit Teknik (RTM)
3- Pemasangan set kamera.
4- Sekitar pukul 9.30 malam dijalankan raptai teknikal bagi menguji PA System, kamera dan lampu. Untuk itu, saya, Azhar dan Khairi diberi peluang sebagai ahli panel. Kumpulan nasyid juga turut terlibat. Boleh tahan sedap dan harmoni nyanyian serta kombinasi perkusi sehinggakan En. Dzul Hanafiah, Penerbit Forum, minta dirakam untuk RTM. Raptai malam tu agak lama, tamat sekitar 12 malam selepas berlaku "letupan kecil" pada kabel utama yang menyambungkan genset dengan sistem pencahyaan & PA...terlebih muatan bekalan elektrik agaknya.

29 April;
1- 8.15 pagi: Saya mempengerusikan satu mesyuarat ringkas untuk penyelarasan tugas yang melibatkan beberapa Jawatankuasa.
2- Mulai sekitar jam 10 pagi, krew RTM dan para petugas teknikal meneruskan kerja-kerja 'setting-up' dan uji-guna peralatan elektrik dan rakaman.
3- 4.30 petang: Sesi perbincangan antara perantara Forum dengan 4 orang bakal penonton yang akan berinteraksi semasa Forum diadakan bertempat di Hotel M-Suites (tempat menginap para ahli panel & krewa penerbitan JAKIM).
4- 5.30 petang - 7.45 malam: Majlis bacaan Yasin, doa selamat & salawat serta jamuan dilangsungkan di surau kampus, Surau Jawahir.
5- 8.25 mlm.: Majlis pra-forum di Dewan Seri Temenggong. Pengarah IPGM Kampus Temenggong Ibrahim, Hj. Mohd Said Hasran menyampaikan ucapan alu-aluan.
6- 9.30 malam: Rakaman Forum bermula, terlewat daripada jadual kerana masalah teknikal. Malangnya tak berapa lama lepas itu tergandala pula. Mikrofon salah seorang ahli panel buat hal. Dekat pukul 10 dapat diteruskan, alhamdulillah. Majlis tamat sekitar pukul 12.25 pagi selepas dua sesi rakaman dijalankan.

Syukur kepada Allah, hasrat kami Allah kabulkan bahkan dipermudahkan melalui tajaan Bank Islam.

Sesungguhnya kami amat teruja. Apa tidaknya, inilah kali pertama (sepanjang pengetahuan saya) sebuah IPGM atau dulunya maktab perguruan mendapat peluang menjadi tuan rumah dan penganjur bersama program agama yang "high impact". Tambahan pula program tersebut mendapat penajaan daripada Bank Islam.

Program tersebut memberi sekurang-kurangnya 2 ilmu; (i) ilmu berkaitan isi kandungan forum yang dibincang oleh para ahli panel, (ii) ilmu & pengalaman melihat proses rakaman rancangan tv dijalankan.

Terima kasih kepada Tn. Pengarah, rakan-rakan AJK, krew JAKIM, RTM, para penyumbang dan semua pihak yang terlibat menjayakan program Forum tersebut.

InsyaAllah saya akan cuba muat naik beberapa foto.



Sunday, April 19, 2009

"Allhumma Ajirna Minan-Nar"

Suatu kepercayaan dalam diri setiap muslim ialah kewujudan syurga dan neraka yang sedia menanti bakal penghuni-penghuninya. Kita semua mempercayainya cuma...sedalam mana keyakinan itu atau seteguh mana kepercayaan itu yang berbeza antara kita. Tapi satu perkara yang lebih utama ialah sejauh mana kepercayaan dan keyakinan itu 'menolak' atau memotivasikan kita mentaati perintah Allah dan RasulNya S.A.W. Sesungguhnya pengetahuan atau ilmu semata-mata tidak bermakna tanpa amal dan penghayatan.

Saya ingin berkongsi beberapa perkhabaran daripada wahyu Ilahi tentang neraka serta keadaan penghuninya.

i- Zaqqum - makanan mereka.
Firman Allah: "Adakah tempat di syurga itu lebih baik ataupun pohon zaqqum. Sesungguhnya Kami jadikannya fitnah (musibah) bagi mereka yang zalim. Sesungguhnya pohon zaqqum itu tumbuh daripada dasar neraka. Mayangnya seperti kepala syaitan (buruk dan menggerunkan). Sesungguhnya mereka pasti memakannya lalu memnuhi perut-perut mereka. Kemudian, sesungguhnya mereka meminum air neraka yang sangat panas". (Surah al-Saffat:62-67)

ii-Cairan tembaga minuman mereka.
"Sesungguhnya Kami sediakan neraka untuk kaum zalim, mereka dikepung oleh gejolak apinya. Jika mereka meminta minuman mereka diberi air (yang teramat panas) seperti cairan tembaga yang menghanguskan muka. Itulah seburuk-buruk minuman dan seburuk-buruk tempat". (Surah al-Kahf:29)

(bersambung...maaf tak sempat)

Saturday, April 18, 2009

Lain Yang Nak Lain Yang Dapat

Dua tiga bulan ni saya sibuk berulang-alik ke beberapa sekolah membimbing guru-guru pelatih j-QAF yang sedang menjalani praktikum. Begitulah resam kami para pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Malahan sebahagian daripada mereka lebih sibuk daripada saya membimbing bakal pendidik pencorak generasi akan datang.

Dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru pelatih akan memulakannya dengan set induksi disusuli dengan langkah-langkah perkembangan isi dan diakhiri dengan penutup atau rumusan. Kebiasaannya kebanyakan guru pelatih pening kepala untuk mencari & melaksanakan set induksi yang sesuai, menarik dan bermakna.
Pada hari Rabu lalu saya menyelia P&P seorang guru pelatih yang mengajar Bahasa Arab Tahun 1. Saya kira dia telah membuat persediaan yang rapi apatah lagi itu merupakan penyeliaan terakhir. Apa yang menarik dan ingin saya kongsikan ialah set induksinya...
Dia mengeluarkan sebiji buah dadu mainan yang sederhana besarnya, comel dan berwarna-warni. Kelihatan murid-murid tertarik.
"Cantik tak benda ni murid-murid?" Dia bertanya.
Mereka menjawab riuh "Cantiiik".
Guru pelatih tadi bertanya soalan susulan "Tahu tak apakah benda ini?"
Lagi sekali murid-murid menjawab beramai-ramai "Daduuu".
"Apa yang ada pada dadu, murid-murid?" Sebahagian mereka menjawab titik-titik dan sebahagian menjawab nombor.
Dia bersetuju dengan mereka "Ya dadu ada titik atau nombor".
Saya, di belakang kelas, tercari-cari nombor pada dadu itu yang sebenarnya hanya ada titik-titik mewakili 1 hingga 6. Kemudian dengan aplikasi PowerPoint dia memaparkan judul pelajaran..."الأعداد " pada layar lalu membacanya, "Al-A'adadu". Murid-murid mengikut bacaannya
"Al-A'adadu" Riuh sekelas.
Selepas itu dia bertanya mereka "Tahu tak kamu apa erti al-a'adadu yang kita nak belajar hari ini murid-murid?" Dengan penuh yakin mereka menjawab "Dadu"
Saya tersenyum sendirian dengan jawapan selamba murid-murid itu yang cuba meneka erti kalimat dengan klu persamaan bunyi, tapi saya pasti itu bukan jawapan yang dikehendaki. Dia kelihatan "terkantoi" dengan respon mereka.
Segera dia membetulkan jawapan mereka "Bukan dadu,
al-A'adadu itu ertinya nombor, kita nak belajar nombor atau bilangan".

Itulah satu episod yang menarik perhatian saya untuk menulis refleksi ringkas.

Sebenarnya guru pelatih tadi telah memilih objek yang amat sesuai dan menarik tapi 'terkucil' di saat kemuncak akibat silap teknik atau mungkin silap soal...lain yang dimaksudkan lain pula yang dapat.

Wahai para bakal guru, teruskan usaha anda mencapai yang terbaik, usah putus asa. Tenangkan fikiran tabahkan hati dan jangan lupa berdoa kerana Allah jualah yang mengurniakan kefahaman dan taufiq kepada anak-anak didik anda. Semoga titik peluh dan titik 'air liur' anda yang terhambur dihitung sebagai pahala.

Saturday, February 14, 2009

AWAS! MUSAWAH

Saya sempat mengikuti berita pagi 14 Feb. 2009 di TV mengenai perasmian satu seminar wanita yang dikatakan bertaraf 'antarabangsa' iaitu MUSAWAH' (bunyi sedap, bahasa Arab tapi awas...) iaiti 'Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family'. Seminar itu diadakan di sebuah hotel 5 bintang di KL anjuran Sisters in Islam (SIS).

My first impression, itu satu lagi platform baru - mungkin diiktiraf pihak tertentu - yang boleh menimbulkan keraguan terhadap syariat atau hukum-hakam Islam melalui isu atau gagasan yang mereka ketengahkan. Ini juga dilihat oleh sesetengah pihak yang prihatin akan mencabar sarjana Islam/ulama dan institusi tadbiran agama negara/negeri.

Musawah itu dilihat berhasrat mempertikaikan pelbagai prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah berkaitan wanita dan kekeluargaan yang dipersetujui dan diterima oleh kesepakatan ulamak muktabar. Perjumpaan itu dihadiri oleh beberapa kepala pemikiran Liberal antaranya Muhammad Khalid Masud, iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain) dan tidak ketinggalan 'jagoan' SIS Malaysia Zainah Anwar.

Satu kenyataan PUMPP menyebutkan kemungkinan perjumpaan/persidangan itu dibiayai dengan dana besar ini berkemungkinan disokong oleh kepentingan Barat dengan tujuan meliberalkan pemikiran orang Islam Malaysia.

Mereka menggunakan pelabagi medium, seminar, pengaruh orang kenamaan, penerbitan dll.

AWAS ! wahai umatku di Tanahair tercinta ini khasnya dan dimana saja...Islam atau lebih tepat lagi umat Islam diserang dari pelabagai penjuru; fizikal, material, pemikiran, budaya dan sebagainya. Ayuh para asatizah dan ilmuan Islam tampillah menangkis serangan mereka dan membetulkan umat ini.

Ya Allah janganlah Dikau palingkan hati-hati kami setelah Dikau beri hidayah kepada kami..." (Al-Quran- Ali 'Imran:8)

Thursday, February 5, 2009

KEBOHONGAN PENDAKWAH

Alhamdulillah dewasa ini muncul ramai "pendakwah" yang terjun ke arena dakwah melalui pelbagai platform menyampaikan ceramah, nasihat, teguran dan sebagainya. Ada yang popular dan ada yang tak berapa popular. Ada yang percuma dan tak sedikit juga yang berbayar...kadarnya...? Tapi pokoknya mereka "berdakwah" untuk memperbaiki masyarakat.

Berkaitan hal ini, ana tertarik dengan tulisan Dr. Musafa al-Siba'i (Syria) dalam kitabnya (versi terjemahan) berjudul "Demi Masa". Beliau menulis "Antara tanda-tanda kebohongan para da'i itu adalah kecintaannya terhadap kesejahteraan dan kemewahan, selalu berasa haus akan pemenuhan (kehendak) hawa nafsu dan kenikmatan..."

Ana percaya tulisan beliau itu terbit daripada pemerhatiannya yang mendalam terhadap realiti dan pengalaman praktis beliau sendiri dalam arena dakwah dan perjuangan Islam. Komentar beliau memberi suatu ketukan hati dan akal kepada ana. Apatah lagi jika dikaitkan dengan pesanan Nabi s.a.w. yang dilaporkan oleh Anas bin Malik r.a. yang bermaksud "Pada malam aku dibawa berjalan semasa Isra' aku melihat lelaki-lelaki yang dipotong/digunting bibir-bibir mereka dengan gunting-gunting, lalu aku bertanya: "Siapa mereka itu wahai Jibril? Dia berkata: Pemidato/penceramah daripada kalangan umatmu yang menyuruh orang ramai melakukan kebaikan tetapi melupai diri sendiri sesrta mereka membaca al-Kitab tetapi tidak beramal dengan kandungannya".

Ya Allah, kurniakan daku hati dan amal yang ikhlas serta lisan yang secocok dengan amal. Ya Allah jauhkan daku daripada tertipu dengan dunia dan pujian manusia.

Saturday, January 31, 2009

Foto Progm Selamatkan Palestin @IPTI 2




Booth Maklumat Palestin

Monday, January 26, 2009

Foto Progm Selamatkan Palestin @IPTI

Sekitar 750 hadirin memenuhi Dewan Sri Temenggong IPTI mendengar ceramah Prof. Madya Dr. Zin Kandar, Aman Palestin.

"SELAMATKAN PALESTIN" @IPTI

Naib YDP JPP, IPTI dan Pengarah IPTI menyerahkan sumbangan kepada PM Dr. Mohd. Zin (Aman Palestin)



Assalamu 'alaikum
.

Beberapa hari selepas Gazzah di ganyang tentera Zionis Israel selama 22 hari, Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus IPTI, JB mengadakan acara kemuncak Program Selamatkan Palestin pada 26 Muharram 1430H/23 Januari lalu, alhamdulillah.

Penceramah undangan daripada Aman Palestin, Sekretariat Johor, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar telah menyampaikan fakta-fakta sejarah dan semasa serta motivasi dengan sokongan klip video, gambar dan karikatur. Saya kira "convincing" dan menarik tumpuan audien yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Sebelum itu, saya telah mengadakan 2 kali perbincangan dengan Pengarah IPTI, Tn. Hj. Mohd. Said Hasran untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan. Beliau memberi sokongan padu termasuk beberapa aktiviti sampingan yang dikemukakan oleh Biro Kerohanian JK Perwakilan Pelajar untuk menyemarakkan lagi kesedaran dan semangat para bakal guru dan semua warga IPTI. Lanjutan daripada itu, pada 19 Januari dijalankan pelancaran Tabung Keprihatinan Palestin.

Aktiviti-aktiviti lain sepanjang tempoh daripada 19hb hingga 23hb;
- pungutan tanda tangan & ucapan semangat kepada rakyat Palestin,
- kutipan derma, sejumlah RM7,o05 disalurkan melalui Aman Palestin,
- membuka booth maklumat Palestin,
- tayangan video "The Iron Wall".

Duhai warga Gazzah khasnya dan Palestin amnya, sesungguhnya kami sedar bahawa apa yang kami lakukan ini hanyalah sekelumit jika dibandingkan dengan penderitaan dan pengorbananmu, umpama langit dan bumi. Walau apapun, semoga Allah terima sebagai amal solih dan moga jadi jawapan di hadapan Allah kelak.








Wednesday, January 7, 2009

GHAZZAH OH GHAZZAH! Doa Untukmu

Ya Allah Ya Muntaqim Ya Qawiy Ya Qahhar,
Dari kejauhan ini kami hanya mampu menadah tangan-tangan cemar ini,
merafakkan doa dan rayuan kepada-Mu, untuk saudara-saudara kami
di Ghazzah, Palestin.
Sesungguhnya Dikau Maha Perkasa, Maha Memaksa dan Maha Sempurna.

Ya Allah lindungilah mereka daripada keganasan dan kejahatan Yahudi Zionis,
Tambahkan kekuatan kepada kekuatan mereka, satukanlah saf-saf mereka serta teguhkanlah ketabahan dan tawakkal mereka kepada-Mu.
Ya Allah jadikanlah batu-batu yang dilontar oleh anak-anak Palestin peluru dan bom
yang memusnahkan tentera Yahudi, sesungguhnya kehendakMu tiada yang dapat
menghalangnya.

Allahumma, hancur leburkanlah tentera dan senjata Israel, pulangkan peluru dan bom mereka ke atas mereka sendiri. Ya Allah Dikau pecah-belahkan hati-hati mereka, goncangkan pendirian dan kedudukan mereka serta utuskanlah ke atas
mereka bala tenteraMu, Ya Allah Ya Qawiy.
Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.