Saturday, April 18, 2009

Lain Yang Nak Lain Yang Dapat

Dua tiga bulan ni saya sibuk berulang-alik ke beberapa sekolah membimbing guru-guru pelatih j-QAF yang sedang menjalani praktikum. Begitulah resam kami para pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Malahan sebahagian daripada mereka lebih sibuk daripada saya membimbing bakal pendidik pencorak generasi akan datang.

Dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru pelatih akan memulakannya dengan set induksi disusuli dengan langkah-langkah perkembangan isi dan diakhiri dengan penutup atau rumusan. Kebiasaannya kebanyakan guru pelatih pening kepala untuk mencari & melaksanakan set induksi yang sesuai, menarik dan bermakna.
Pada hari Rabu lalu saya menyelia P&P seorang guru pelatih yang mengajar Bahasa Arab Tahun 1. Saya kira dia telah membuat persediaan yang rapi apatah lagi itu merupakan penyeliaan terakhir. Apa yang menarik dan ingin saya kongsikan ialah set induksinya...
Dia mengeluarkan sebiji buah dadu mainan yang sederhana besarnya, comel dan berwarna-warni. Kelihatan murid-murid tertarik.
"Cantik tak benda ni murid-murid?" Dia bertanya.
Mereka menjawab riuh "Cantiiik".
Guru pelatih tadi bertanya soalan susulan "Tahu tak apakah benda ini?"
Lagi sekali murid-murid menjawab beramai-ramai "Daduuu".
"Apa yang ada pada dadu, murid-murid?" Sebahagian mereka menjawab titik-titik dan sebahagian menjawab nombor.
Dia bersetuju dengan mereka "Ya dadu ada titik atau nombor".
Saya, di belakang kelas, tercari-cari nombor pada dadu itu yang sebenarnya hanya ada titik-titik mewakili 1 hingga 6. Kemudian dengan aplikasi PowerPoint dia memaparkan judul pelajaran..."الأعداد " pada layar lalu membacanya, "Al-A'adadu". Murid-murid mengikut bacaannya
"Al-A'adadu" Riuh sekelas.
Selepas itu dia bertanya mereka "Tahu tak kamu apa erti al-a'adadu yang kita nak belajar hari ini murid-murid?" Dengan penuh yakin mereka menjawab "Dadu"
Saya tersenyum sendirian dengan jawapan selamba murid-murid itu yang cuba meneka erti kalimat dengan klu persamaan bunyi, tapi saya pasti itu bukan jawapan yang dikehendaki. Dia kelihatan "terkantoi" dengan respon mereka.
Segera dia membetulkan jawapan mereka "Bukan dadu,
al-A'adadu itu ertinya nombor, kita nak belajar nombor atau bilangan".

Itulah satu episod yang menarik perhatian saya untuk menulis refleksi ringkas.

Sebenarnya guru pelatih tadi telah memilih objek yang amat sesuai dan menarik tapi 'terkucil' di saat kemuncak akibat silap teknik atau mungkin silap soal...lain yang dimaksudkan lain pula yang dapat.

Wahai para bakal guru, teruskan usaha anda mencapai yang terbaik, usah putus asa. Tenangkan fikiran tabahkan hati dan jangan lupa berdoa kerana Allah jualah yang mengurniakan kefahaman dan taufiq kepada anak-anak didik anda. Semoga titik peluh dan titik 'air liur' anda yang terhambur dihitung sebagai pahala.

No comments: