Thursday, February 5, 2009

KEBOHONGAN PENDAKWAH

Alhamdulillah dewasa ini muncul ramai "pendakwah" yang terjun ke arena dakwah melalui pelbagai platform menyampaikan ceramah, nasihat, teguran dan sebagainya. Ada yang popular dan ada yang tak berapa popular. Ada yang percuma dan tak sedikit juga yang berbayar...kadarnya...? Tapi pokoknya mereka "berdakwah" untuk memperbaiki masyarakat.

Berkaitan hal ini, ana tertarik dengan tulisan Dr. Musafa al-Siba'i (Syria) dalam kitabnya (versi terjemahan) berjudul "Demi Masa". Beliau menulis "Antara tanda-tanda kebohongan para da'i itu adalah kecintaannya terhadap kesejahteraan dan kemewahan, selalu berasa haus akan pemenuhan (kehendak) hawa nafsu dan kenikmatan..."

Ana percaya tulisan beliau itu terbit daripada pemerhatiannya yang mendalam terhadap realiti dan pengalaman praktis beliau sendiri dalam arena dakwah dan perjuangan Islam. Komentar beliau memberi suatu ketukan hati dan akal kepada ana. Apatah lagi jika dikaitkan dengan pesanan Nabi s.a.w. yang dilaporkan oleh Anas bin Malik r.a. yang bermaksud "Pada malam aku dibawa berjalan semasa Isra' aku melihat lelaki-lelaki yang dipotong/digunting bibir-bibir mereka dengan gunting-gunting, lalu aku bertanya: "Siapa mereka itu wahai Jibril? Dia berkata: Pemidato/penceramah daripada kalangan umatmu yang menyuruh orang ramai melakukan kebaikan tetapi melupai diri sendiri sesrta mereka membaca al-Kitab tetapi tidak beramal dengan kandungannya".

Ya Allah, kurniakan daku hati dan amal yang ikhlas serta lisan yang secocok dengan amal. Ya Allah jauhkan daku daripada tertipu dengan dunia dan pujian manusia.

No comments: