Sudah menjadi lumrah masyarakat Melayu/Islam di Malaysia (mungkin juga Singapura & Berunei) mengambil kesempatan cuti sekolah pada bulan Dis. mengadakan majlis walimatul 'arus. Biasanya pembukaan majlis didahului dengan doa selamat. Saya sendiri pernah beberapa kali diminta memimpin bacaan doa (ada juga permintaan mengejut - on the spot). Saya rasa molek rasanya saya mencatat dalam ruangan ini rangkap-rangkap doa yang sempat dikarang untuk satu walimatul 'arus baru-baru ini.
بسم الله الرحمن الرحيمالحمد لله رب العالمين الذي خلق الأزواج كلها، والصلاة والسلام على سيدنا محمد سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ya Allah Ya Rahim, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Tuhan Yang mentadbir seluruh alam maya, Yang Maha mendengar rayuan dan doa hamba-hambaNya. Ya Allah, sesungguhnya tiada sesuatu yang berlaku melainkan dengan iradahMu jua.
Ya Allah Ya Halim Ya Wadud. Sesungguhnya Dikau Maha mengetahui bahawa hati-hati kami dan kedua-dua mempelai ini bertemu dan berhimpun kerana mencintaiMu, mentaatiMu, bersatu memikul amanah dakwah warisan RasulMu s.a.w. sera mendokong syariatMu. Justeru itu, Ya Allah eratkanlah tautan hati-hati ini, kekalkan kemesraannya, limpahkanlah ia dengan nur rabbani yang tak kunjung padang, lapangkanlah ia dengan limpahan keimanan dan tawakkal yang jitu kepadaMu dalam segala situasi dan semua urusan.
Ya Allah, dengan rahmat dan kasih sayangMu, satukanlah hati pasangan pengantin yang kami raikan ini dengan ikatan iman dan taqwa. Curahkanlah ke dalam hati sanubari mereka mawaddah, kasih sayang yang tulus keranaMu. Naungilah rumahtangga mereka dengan payung rahmat dan pemeliharaanMu yang berterusan. Hindarilah daripada mereka hasad dengki, khianat, permusuhan dan pertelingkahan. Ya Allah Dikau jadikanlah rumahtangga mereka keluarga sakinah yang subur dengan amal solih, ma'ruf dan dakwah.
Allahumma Ya Hadi Ya Ghani, kurniakanlah kepada mempelai ini dan juga kami limpahan rezki yang barakah dan zuriat yang solihah yang menjadi jambatan ridhaMu serta taqarrub kepadaMu dan bukannya yang melalaikan serta menjauhkan kami daripadaMu dan syurgaMu.
Ya Allah, ampunilah tuan rumah majlis ini serta keluarganya dan sempurnakanlah hajatnya, kurniakan mereka rezki yang halal lagi berkat. Amin ya Rabbal 'alamin.