Sunday, December 5, 2010

Pendidikan Asas Membentuk Anak Soleh - 1

السلام عليكم

Ana (saya) ingin berkongsi saranan imam-imam soleh terdahulu berhubung cara & langkah mendidik anak atau kanak-kanak hasil daripada pembacaan ringkas ana daripada kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin karya Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi. Kitab tersebut merupakan ringkasan bagi kitab Minhaj Al-Qassidin karya Ibnu al-Jauzi yang merujuk dan membuat saringan kitab Ihya' Ulumiddin.

Sekiranya anak-anak diasuh dan dididik dengan kebaikan mereka akan membesar dalam aturan yang baik. Ibu bapa dan pendidiknya akan sama-sama mendapat pahala. Sebaliknya jika diasuh dengan dengan kejahatan, mereka akan membesar dalam kejahatan dan mungkar. Dosa itu akan turut ditanggung oleh orang yang menjaga atau mendidik.

Lantaran itu, anak hendaklah dijaga dan dididik dengan akhlak yang baik. Dia hendaklah dijauhkan daripada kawan-kawan yang jahat. Tidak seharusnya dibiasakan dengan bermacam-macam keseronokan dan segala bentuk kemewahan supaya kelak dewasa dia tidak tertumpu kepada mencari keseronokan dan kemewahan.


Berikut adalah langkah-langkah awal pendidikan kanak-kanak yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dan pendidik.

1. Mencari pengasuh dan ibu susuan (jika perlu) daripada kalangan wanita solehah yang beramal dengan ajaran Islam serta mengambil berat tentang halal dan haram dalam makanan kerana susu yang terhasil daripada sumber yang haram tiada barakah.
2. Sifat pertama yang mula menguasai kanak-kanak ialah lahap terhadap makanan. Oleh itu dia mesti diajar adab-adab makan. Sesekali dia mesti dilatih memakan roti sahaja tanpa kuah atau kaya agar tidak timbul anggapan bahawa makan roti itu semestinya dengan kuah atau kaya. Kanak-kanak juga perlu diberi gambaran buruk tabiat lahap atau banyak makan diumpamakan seperti haiwan.
3. Anak-anak lelaki dilatih supaya suka memakai pakaian putih, bukan yang kotor dan sutera (bagi lelaki).
4. Dilarang bergaul rapat dengan rakan-rakan yang yang terasuh dengan kebiasaan bermewah-mewah atau berseronok-seronok.
5. Diajar Al-Quran, Hadis dan kisah-kisah orang soleh agar tertanam dalam hatinya perasaan kasih dan hormat kepada golongan solihin.
6. Janganlah mengajarnya menghafal rangkap-rangkap puisi dan nyanyian cinta yang mengasyikkan dan melalaikan.
7. Apabila kanak-kanak tersebut menunjukkan akhlak dan perbuatan terpuji, hendaklah diberi penghargaan dengan sesuatu yang menggembirakannya serta boleh diberi pujian di depan orang lain.
8. Sekiranya dia lalai dan melakukan kesalahan, janganlah diungkit-ungkit dan didedahkan. Namun jika dia mengulanginya, hendaklah ditegur secara bersendirian serta diingatkan bahawa orang ramai mungkin mengetahui perbuatannya itu. Walaupun begitu, janganlah terlalu banyak atau kerap menegur dan memarahinya (berleter) kerana itu boleh menjadikannya lali mendengar teguran.

Semoga kita memberi perhatian yang serius kepada tunas generasi akan datang yang akan mewarisi nama baik kita, harta benda kita dan yang lebih penting agama kita.

Thursday, August 19, 2010

Bengkel Solat

السلام عليكم ورحمة الله

Sabda Nabi Muhammad. S.A.W;
"صلوا كما رأيتموني أصلي"

Pada 30 - 31 Julai lalu saya dan rakan-rakan di JPIM diberi peluang oleh Allah membimbing para pelajar yang baru menyertai keluarga besar IPG Kampus Temenggong Ibrahim, Johor dalam program Pemantapan Solat. Idea asal program tersebut dicetuskan oleh AJK PERMATA dengan nama Klinik Solat. Selepas itu, atas inisiatif Timbalan Pengarah Akademik (Hj. Sasman)dan kerjasama AJK PERMATA ia menjadi kenyataan.

Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan pensyarah dan AJK PERMATA yang terlibat secara langsung bertungkus-lumus menjayakan program tersebut. Syabas kepada para peserta yang setia.

Dilampirkan beberapa foto buat tatapan semua. Kalau sesiapa yang tak rela wajahnya dipaparkan saya mohon maaf dan sila maklumkan untuk saya keluarkan.
/TGyK3iLCvVI/AAAAAAAAAQQ/vYOQXnoZJsQ/s200/DSC_3889.JPG" border="0" alt=""id="BLOGGER_PHOTO_ID_5506929131037834578" />

Sunday, August 15, 2010

RAMADHAN: Intensif Amal

السلام عليكم

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kita diberi peluang lagi sekali bersama bulan barakah, bulan amal, bulan jannah dan bulan tarbiyah. Semoga kita tidak sesiakan peluang keemasan ini. Semoga kita tidak dialpakan dengan hidangan juadah yang mengiurkan.

Ayuh kita perbaiki prestasi diri dalam hal hablu minAllah dan juga hablum-minannas sepanjang bulan tarbiyah ini (bahkan sewajarnya sepanjang masa). Tingkatkan amal solih dan serentak dengan itu meninggalkan amal tolih (dosa). Mungkin senarai semak di bawah bermenafaat.

Bil Amal Solih
1. Solat Fardhu Berjemaah
i- Subuh
ii- Zuhur
iii- Asar
iv- Maghrib
v- Isya`
2. Solat Tarawih & Witir
3. Tilawah Quran
4. Sedekah
5. Memberi makan berbuka (iftar)
6. Iktikaf
7. Menolong (ahli keluarga/ orang lain)
8. Dakwah (amar ma’ruf/nahi munkar)
9. Meninggalkan dosa mata, lidah, telinga dll. yg biasa dilakukan

Saturday, August 14, 2010

MUNAJAT RAMADHAN

MUNAJAT RAMADHAN

Ya Allah, lapan purnama daku lalui dengan izin-Mu
Menikmati kurnia-Mu, menghirup, mengunyah, meneguk dan menjamah
Lazat, segar, puas, kenyang…
Malunya Ya Allah…daku melayan serakah selera, cita dan rasa.

Allahumma, lapan purnama hatiku kering,
Jiwaku gersang
Ruhaniku kontang.
Engkau tampilkan bulan barakah
Engkau hadirkan bulan tarbiyah…Ramadhan
Nafsu dikekang sepanjang siang
Malam hari dihiasi qiyam

Ya Allah… saban tahun Ramadhan datang dan pergi
Sudah saban tahun puasa disanggupi
Ya Allah…daku tak tahu adakah puasaku layak untuk Dikau ganjari,
Apakah daku hanya sekadar mencukupkan bilangan hari
Lalu puasaku tersangkut di langit dunia
Lalu pintu Raiyan bukan laluanku

Ya Allah ampunilah daku atas kesilapan, kealpaan dan kelalaianku.
Ya Allah kurniakan daku taufiq-Mu agar dapat kulalui Ramadhan ini dengan amal yang Kau redhai, tolongilah daku untuk mengekang nafsuku, menundukkan pandanganku dan mengawal lidahku.
Ya Allah ringankan anggota tubuhku untuk membanyakkan rukuk dan sujud kepada-Mu.
Ya Allah daku bimbang aku menjadi hamba yang ramadhaniyin bukan rahbaniyin.
Ya Allah jadikan amal-amalku bekalan buatku mengharungi sebelas purnama mendatang
Sebagai hamba yang rabbaniyin.

Friday, July 23, 2010

RAMADHAN YANG DIRINDUI (2)

السلام عليكم

Sya'ban makin menghujung dan Ramadhan hampir mengunjung,
minggu dan hari dihitung.
Ya Allah panjangkan usia kami sehingga bertemu Ramadhan,
Sihatkan tubuh badan dan akal kami agar dapat menghayati Ramadhan dengan sebaik-baiknya.

Saya ingin berkongsi sebahagian lagi catatan sebagai kesinambungan terbitan lalu.

6. Ramadhan mengingatkan kita kepada penurunan Al-Quran, tadarus Al-Quran dan khatam Al-Quran. Kita bersiap sedia untuk tilawah Al-Quran secara intensif. Dalam hal ini, maka segala kehendak jiwa yang buruk mesti dihindarkan. Perkara-perkara hina dan dusta hendaklah dilontarkan jauh-jauh sebagai persediaan untuk menyambut khitab (ungkapan/seruan) samawi , yang akan disambut dengan baik; sesuai dengan khitab tersebut.

Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengingati waktu penurunan al-Quran itu. Bacalah dan renungilah ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat itu baru sahaja diturunkan seperti para sahabah r.a. mendengar dan menghayatinya dengan penuh khusyuk. Mereka mendengar kandungan khitab samawi itu untuk mematuhi perintah dan larangannya serta mengikuti petunjuknya. Bacalah ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah anda mendengarnya daripada Rasulullah (s.a.w), bahkan seolah-olah mendengarnya langsung daripada Jibril (a.s).

7. Kita merindui iktikaf & qiyam pada malam-malam Ramadhan khasnya pada sepuluh malam terakhir yang merupakan masa terbaik beriktikaf.

Syeikh Mustafa Masyhur menulis: “Iktikaf memberi kesan mendalam dan pengaruh yang memuncak kepada diri kerana ketika itu dai menjadi tetamu Allah serta membebaskan dirinya daripada segala kesibukan duniawi. Di situlah dia menumpukan sepenuh perhatian untuk taat kepada Allah dan bertaqarrub kepada-Nya. Dia tidak berhenti mengingati Allah dangan lidah dan hatinya, berselawat dan salam kepada Nabi S.A.W., berbisik-bisik serta bermunajat kepada Allah, membaca al-Quran, beristighfar dan bertaubat serta menangis kerana takut kepada-Nya. Pada waktu itulah Allah memuliakan tetamiu-tetamu- Nya dengan melimpahkan nur dan hidayah-Nya. Apabila mereka keluar daripada rumah Allah mereka mendapat bekalan iman, taqwa dan hidayah Allah”.

8. Di dalam puasa ada mujahadah, perjuangan memerangi hawa nafsu dan keselesaan tubuh badan. Ini memerlukan keazaman yang kuat di dalam diri muslim. Inilah bekalan yang penting bagi semua muslim terutamanya sohibud-da’wah (pendokong dakwah) dan mujahid fi sabilillah. Orang yang bepuasa menahan dorongan nafsunya daripada melakukan sesuatu yang halal pada setiap hari sepanjang Ramadhan. Dengan itu, dia mendapat bekalan dan kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada melakukan sesuatu yang haram sepanjang hidupnya.

Alangkah pelik dan memalukan dirinya di hadapan Allah seseorang yang tidak berusaha menahan diri daripada dosa (melakukan perkara haram/meninggalkan yg wajib) tetapi bersusah payah menahan diri daripada perkara yg asalnya halal (makan, minum...).

Tuesday, July 20, 2010

RAMADHAN YG DIRINDUI (1)

Ramadhan akan datang lagi, pasti akan tiba kecuali jika Allah menentukan kiamat pada bulan Sya’ban. Kita sedar Ramadhan akan tiba tapi tidak seharusnya kita hanya menunggu dan sekadar berpeluk tubuh menanti kedatangannya…melihat dan membiarkan hari-hari sepanjang Rajab dan Sya’ban berlalu begitu sahaja. Jika itu situasinya bermakna Ramadhan belum dirindui. Kuntum cinta dan rindu kepada Ramadhan belum mekar di dalam hati.

Seseorang yang mencintai dan merindui sesuatu sudah barang tentu amat kepingin dan tidak senang duduk diam menanti ketibaannya.. Dia tidak menanti sesuatu itu datang bergolek tapi sebaliknya dia rela “mengejarnya” sekalipun pepatah Melayu “tidak lari gunung dikejar” masih masyhur. Dia tidak betah berpeluk tubuh dan menjadi penonton perjalanan hari dan minggu menuju Ramadhan sebaliknya dia umpama sang tunang yang tidak sabar-sabar menanti hari ijab-qabul…menjaga diri, mandi lulur, menempah baju pengantin, menghias bilik dan… Suatu penantian yang “berisi” bukan sekadar menunggu.
Kenapa Merindui Ramadhan?

1. Ramadhan bulan yang dimuliakan Allah dengan menyebutnya secara eksplisit dalam Al-Quran. Apatah lagi pada bulan tersebut diturunkan Al-Quran.

Kita menyukai dan merindui sesuatu yang Allah muliakan sebagai tanda turut memuliakannya.

2. Kita merindui dan mengimpikan syurga. Pada Ramadhan pintu syurga dibuka lalu tidak sabar rasanya mengetuk pintu-pintu syurga dan menjengah ke dalamnya.

“Apabila tiba Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga”

3. Kita merindui dan mendambakan keampunan Allah. Puasa Ramadhan adalah wadah yang menjanjikan pengampunan dosa.
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;

Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari Allah maka dosanya di masa lalu pasti diampuni”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Tidakkah sampai kepada kita pesanan Nabi s.a.w kepada isteri-isterinya dan juga sahabat-sahabatnya;
“Alangkah hairannya bagi orang yang telah sampai umurnya menjelang Ramadan sehingga tamat Ramadhan, kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.

4. Kita tertunggu-tunggu peluang mendapat pelbagai keistimewaan melalui puasa antaranya dua kegembiraan dan kebahagiaan yang Allah sediakan bagi orang yang berpuasa khasnya pada Ramadhan.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w.:
Allah berfirman, 'Semua amalan Bani Adam untuknya, kecuali puasa, maka itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya.' Puasa itu perisai. Jika salah seorang dari kalian berpuasa pada satu hari, maka janganlah berkata-kata kotor dan keji. Jika ada orang yang mencelanya dan menyakitinya, hendaklah dia berkata, 'Aku sedang berpuasa.' Demi Zat Yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada wangi kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, iaitu ketika dia berbuka dan ketika bertemu dengan Rabnya dia berbahagia dengan puasanya. (Riwayat al-Bukhariy dan Muslim).

5. Puasa Ramadan merupakan kunci kesyukuran yang tulus lagi benar; kunci pujian yang agung dan umum buat Allah (s.w.t) . Ini kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang banyak itu kerana mereka tidak pernah merasai betapa perit dan azabnya lapar yang sebenar. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasai itu semua. Mereka yang sentiasa kekenyangan tidak dapat menilai dan menghargai nikmat. Oleh itu, orang yang berpuasa -- bermula daripada sultan hinggalah kepada yang yang paling miskin - pada bulan Ramadan akan mengucapkan kesyukuran yang amat bermakna kepada Allah (s.w.t). Ini kerana mereka sedar betapa besar dan bernilainya nikmat yang agung itu. Seseorang manusia yang menahan diri daripada menjamah makanan pada siang hari akan menyedari bahawa ia adalah nikmat yang hakiki. Lantaran itu, dia akan berbisik kepada dirinya sendiri: “Nikmat itu bukan milikku. Aku tidak bebas memakannya. Ia adalah milik orang lain. Ia adalah nikmat dan kurniaan-Nya, yang dikurniakan kepadaku. Jadi, sekarang aku sedang menunggu arahan-Nya”. Dengan ini, dia telah menunaikan kesyukuran yang amat bermakna terhadap nikmat tersebut.
Kita merindui Ramadhan dan tidak sabar-sabar menanti ketibaannya. Lantaran itu, kita mempersiapkan diri secara mental, emosi dan rohani dengan ilmu, amalan puasa sunat, tilawah Al-Quran, sedekah dan sebagainya serta doa.
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان"

Sunday, July 18, 2010

Jawapan Kemusykilan: Meminang Dlm 'Iddah

Secara ringkasnya, dalam al-Quran termaktub secara eksplisit larangan (haram) mengahwini wanita dlm 'iddah cerai atau mati suami. Demikian juga diharamkan meminang...

Apa rahsianya pengharaman itu? Wanita yg dalam tempoh 'iddah pada hakikatnya masih ada ikatan dgn suaminya umpama retak tapi belum pecah...mungkin akan pecah atau boleh jadi kembali molek, inilah yang diharapkan. Seandainya suaminya rujuk dlm tempoh 'iddah maka mereka berdua kembali sebagai suami isteri tanpa perlu aqad nikah, kecuali jika talak 3.
Lagi satu, untuk mengelak keraguan nasab (keturunan). Dalam tempoh tersebut wanita itu boleh memastikan yg rahimnya tidak membawa benih suaminya (tidak hamil.)

Hukum Islam tak sama dg undang-undang perkahwinan sivil

Sementara "dating" pula bila-bila masa pun haram, tak kira sama ada dalam 'iddah, luar 'iddah. Bukankah Nabi dah pesan jika sorang wanita dan sorang lelaki berdua-duaan akan ada yang ke3... SYAITAN. Adalah lebih buruk dan lebih keji jika seorang isteri ber'dating' dgn lelaki lain. Allah lebih murka terhadap lelaki yang berzina dgn isteri jirannya (mafhum dp Hadis, mungkin hadis ini juga mencakupi isteri rakan (kedua-keduanya dikenali) yg sepatutnya lelaki itu menjadi pelindung membantu jiran dan rakannya.

Berikut dilampirkan jawapan dp laman web Pejabat Mufti Terengganu (mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=08&parent=05) bagi soalan yang sama;

Perempuan yang masih di dalam 'iddah bolehkah dipinang ?

Jawapan 20

Perkara ini perlu difahami di dalam dua keadaan :

1) Diharamkan meminang perempuan yang masih berada di dalam 'iddah raj'i (masih di dalam tempoh boleh dirujuk oleh suaminya) samada peminangan itu secara terangan atau kiasan, kerana perempuan tersebut masih dikategorikan sebagai isteri dan suaminya masih berhak untuk merujuknya kembali.
2) Diperbolehkan meminang secara kiasan sahaja (tidak secara terangan) kepada seorang perempuan yang berada di dalam edah kematian suami atau cerai bain (talak tiga atau tidak boleh dirujuk oleh suami melainkan dengan nikah baru).

Allahu a'lam. Berhati-hatilah dlm bergaul. Bijaksanalah dlm menguruskan nafsu dan keinginan naluri supaya tidak dimurkai Allah dan hidup diberkati.

Saturday, June 5, 2010

Assalamu 'alaikum.
Lama sungguh laman kecil ini terabai tanpa sebarang input. Berat sungguh rasanya jejari ini nak mengetuk kekunci komputer mengatur kalimah sekalipun sesekali terlintas secubit fikrah.

Ada rakan bertanya satu soalan bekaitan hukum cerai/talaq dan selanjutnya memberi cadangan yang bernas supaya mengusahakan satu kursus berkaitan hukum-hakam munakahat dan rumahtangga. Ekoran daripada itu, saya tergerak untuk mencoretkan jawapan dan komen berkaitan perkara tersebut yang mungkin boleh dikongsi oleh rakan-rakan lain sebelum mendapat input yang lebih mantap dalam kursus (kalau berjaya diadakan).

Soalannya:
Apakah hukum meminang seorang wanita yang masih dalam edah ('iddah) cerai? Bolehkan dia "dating" dengan buah hati barunya?

Jawapannya: ...