Ramadhan akan datang lagi, pasti akan tiba kecuali jika Allah menentukan kiamat pada bulan Sya’ban. Kita sedar Ramadhan akan tiba tapi tidak seharusnya kita hanya menunggu dan sekadar berpeluk tubuh menanti kedatangannya…melihat dan membiarkan hari-hari sepanjang Rajab dan Sya’ban berlalu begitu sahaja. Jika itu situasinya bermakna Ramadhan belum dirindui. Kuntum cinta dan rindu kepada Ramadhan belum mekar di dalam hati.
Seseorang yang mencintai dan merindui sesuatu sudah barang tentu amat kepingin dan tidak senang duduk diam menanti ketibaannya.. Dia tidak menanti sesuatu itu datang bergolek tapi sebaliknya dia rela “mengejarnya” sekalipun pepatah Melayu “tidak lari gunung dikejar” masih masyhur. Dia tidak betah berpeluk tubuh dan menjadi penonton perjalanan hari dan minggu menuju Ramadhan sebaliknya dia umpama sang tunang yang tidak sabar-sabar menanti hari ijab-qabul…menjaga diri, mandi lulur, menempah baju pengantin, menghias bilik dan… Suatu penantian yang “berisi” bukan sekadar menunggu.
Kenapa Merindui Ramadhan?
1. Ramadhan bulan yang dimuliakan Allah dengan menyebutnya secara eksplisit dalam Al-Quran. Apatah lagi pada bulan tersebut diturunkan Al-Quran.
Kita menyukai dan merindui sesuatu yang Allah muliakan sebagai tanda turut memuliakannya.
2. Kita merindui dan mengimpikan syurga. Pada Ramadhan pintu syurga dibuka lalu tidak sabar rasanya mengetuk pintu-pintu syurga dan menjengah ke dalamnya.
“Apabila tiba Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga”
3. Kita merindui dan mendambakan keampunan Allah. Puasa Ramadhan adalah wadah yang menjanjikan pengampunan dosa.
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari Allah maka dosanya di masa lalu pasti diampuni”. (HR. Bukhari dan Muslim)
Tidakkah sampai kepada kita pesanan Nabi s.a.w kepada isteri-isterinya dan juga sahabat-sahabatnya;
“Alangkah hairannya bagi orang yang telah sampai umurnya menjelang Ramadan sehingga tamat Ramadhan, kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.
4. Kita tertunggu-tunggu peluang mendapat pelbagai keistimewaan melalui puasa antaranya dua kegembiraan dan kebahagiaan yang Allah sediakan bagi orang yang berpuasa khasnya pada Ramadhan.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w.:
Allah berfirman, 'Semua amalan Bani Adam untuknya, kecuali puasa, maka itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya.' Puasa itu perisai. Jika salah seorang dari kalian berpuasa pada satu hari, maka janganlah berkata-kata kotor dan keji. Jika ada orang yang mencelanya dan menyakitinya, hendaklah dia berkata, 'Aku sedang berpuasa.' Demi Zat Yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada wangi kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, iaitu ketika dia berbuka dan ketika bertemu dengan Rabnya dia berbahagia dengan puasanya. (Riwayat al-Bukhariy dan Muslim).
5. Puasa Ramadan merupakan kunci kesyukuran yang tulus lagi benar; kunci pujian yang agung dan umum buat Allah (s.w.t) . Ini kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang banyak itu kerana mereka tidak pernah merasai betapa perit dan azabnya lapar yang sebenar. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasai itu semua. Mereka yang sentiasa kekenyangan tidak dapat menilai dan menghargai nikmat. Oleh itu, orang yang berpuasa -- bermula daripada sultan hinggalah kepada yang yang paling miskin - pada bulan Ramadan akan mengucapkan kesyukuran yang amat bermakna kepada Allah (s.w.t). Ini kerana mereka sedar betapa besar dan bernilainya nikmat yang agung itu. Seseorang manusia yang menahan diri daripada menjamah makanan pada siang hari akan menyedari bahawa ia adalah nikmat yang hakiki. Lantaran itu, dia akan berbisik kepada dirinya sendiri: “Nikmat itu bukan milikku. Aku tidak bebas memakannya. Ia adalah milik orang lain. Ia adalah nikmat dan kurniaan-Nya, yang dikurniakan kepadaku. Jadi, sekarang aku sedang menunggu arahan-Nya”. Dengan ini, dia telah menunaikan kesyukuran yang amat bermakna terhadap nikmat tersebut.
Kita merindui Ramadhan dan tidak sabar-sabar menanti ketibaannya. Lantaran itu, kita mempersiapkan diri secara mental, emosi dan rohani dengan ilmu, amalan puasa sunat, tilawah Al-Quran, sedekah dan sebagainya serta doa.
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان"
Tuesday, July 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment