Friday, July 23, 2010

RAMADHAN YANG DIRINDUI (2)

السلام عليكم

Sya'ban makin menghujung dan Ramadhan hampir mengunjung,
minggu dan hari dihitung.
Ya Allah panjangkan usia kami sehingga bertemu Ramadhan,
Sihatkan tubuh badan dan akal kami agar dapat menghayati Ramadhan dengan sebaik-baiknya.

Saya ingin berkongsi sebahagian lagi catatan sebagai kesinambungan terbitan lalu.

6. Ramadhan mengingatkan kita kepada penurunan Al-Quran, tadarus Al-Quran dan khatam Al-Quran. Kita bersiap sedia untuk tilawah Al-Quran secara intensif. Dalam hal ini, maka segala kehendak jiwa yang buruk mesti dihindarkan. Perkara-perkara hina dan dusta hendaklah dilontarkan jauh-jauh sebagai persediaan untuk menyambut khitab (ungkapan/seruan) samawi , yang akan disambut dengan baik; sesuai dengan khitab tersebut.

Perkara ini boleh dilakukan dengan cara mengingati waktu penurunan al-Quran itu. Bacalah dan renungilah ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah ayat-ayat itu baru sahaja diturunkan seperti para sahabah r.a. mendengar dan menghayatinya dengan penuh khusyuk. Mereka mendengar kandungan khitab samawi itu untuk mematuhi perintah dan larangannya serta mengikuti petunjuknya. Bacalah ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah anda mendengarnya daripada Rasulullah (s.a.w), bahkan seolah-olah mendengarnya langsung daripada Jibril (a.s).

7. Kita merindui iktikaf & qiyam pada malam-malam Ramadhan khasnya pada sepuluh malam terakhir yang merupakan masa terbaik beriktikaf.

Syeikh Mustafa Masyhur menulis: “Iktikaf memberi kesan mendalam dan pengaruh yang memuncak kepada diri kerana ketika itu dai menjadi tetamu Allah serta membebaskan dirinya daripada segala kesibukan duniawi. Di situlah dia menumpukan sepenuh perhatian untuk taat kepada Allah dan bertaqarrub kepada-Nya. Dia tidak berhenti mengingati Allah dangan lidah dan hatinya, berselawat dan salam kepada Nabi S.A.W., berbisik-bisik serta bermunajat kepada Allah, membaca al-Quran, beristighfar dan bertaubat serta menangis kerana takut kepada-Nya. Pada waktu itulah Allah memuliakan tetamiu-tetamu- Nya dengan melimpahkan nur dan hidayah-Nya. Apabila mereka keluar daripada rumah Allah mereka mendapat bekalan iman, taqwa dan hidayah Allah”.

8. Di dalam puasa ada mujahadah, perjuangan memerangi hawa nafsu dan keselesaan tubuh badan. Ini memerlukan keazaman yang kuat di dalam diri muslim. Inilah bekalan yang penting bagi semua muslim terutamanya sohibud-da’wah (pendokong dakwah) dan mujahid fi sabilillah. Orang yang bepuasa menahan dorongan nafsunya daripada melakukan sesuatu yang halal pada setiap hari sepanjang Ramadhan. Dengan itu, dia mendapat bekalan dan kekuatan jiwa untuk menahan diri daripada melakukan sesuatu yang haram sepanjang hidupnya.

Alangkah pelik dan memalukan dirinya di hadapan Allah seseorang yang tidak berusaha menahan diri daripada dosa (melakukan perkara haram/meninggalkan yg wajib) tetapi bersusah payah menahan diri daripada perkara yg asalnya halal (makan, minum...).

No comments: