Saturday, June 28, 2008

MUTIARA SABDA NABAWI

Sabda Rasulullah S.A.W.;

1) "Sesiapa yang melazimi (banyak & kerap) istighfar pasti Allah menjadikan baginya jalan keluar daripada setiap kesulitan/kesempitan dan kelegaan daripada setiap kerungsingan serta mengurniakannya rezki yang murah dan mudah" (Riwayat Abu Daud)

2) "Sesiapa yang menolong orang zalim dengan kebatilan bagi menewaskan haq (kebenaran) maka sesungguhnya dia berhak mendapat kutukan Allah dan RasulNya. Sesiapa memakan satu dirham daripada riba dia umpama 33 penzina. Sesiapa yang daging tubuhnya tumbuh daripada sesuatu yang haram maka neraka lebih utama baginya". (Riwayat Al-Tabarani)

Renungan buat kita bersama. Semoga mendapat keampunan Allah dan dijauhkan daripada neraka.

Promo Resort Bumiputera

Kali ni saya nak nak berkongsi perkara yang lain daripada sebelumnya, tak ada falsafah tersirat, ringan-ringan je.

Judul diberi Promo Resort... tapi saya tak ada saham sikitpun dlm resort tu dan dia orangpun tak mintak saya promokan tapi sekadar nak berkongsi perkara yang baik dan berkenan di HATI tambahan pula nak bantu "orang kita", saya gembira melihat mereka berjaya dalam bisnes. Saya diberitahu oleh pengurusnya, En. Edi yang resort tu milik bekas seorang pegawai tinggi tentera (Dato') dan diusahakan oleh isterinya. Mungkin ada yang memerlukan penginapan yang agak eksklusif dengan bayaran berpatutan di sekitar situ satu masa nanti.

Saya merupakan antara penginap awal resort tersebut yang ketika itu baru seminggu dibuka serentak dengan SUKMA di T'ganu. Setelah jenuh mencari bilik kosong di hotel-hotel 3 star di daerah Dungun akhirnya saya dgn Makngah chek-in di ULEK BEACH RESORT (dlm gambar) berdekatan Hotel UiTM.


Keistimewaan: chalet berkembar dua, designnya gabungan Melayu klasik dan moden, luas dan yg hebatnya ada jacuzzi dlm bilik air. Menghadap Laut China Selatan (di seberang jalan). (Saya sempat merakam pemandangan indah mentari terbit di ufuk timur, Laut Chin Selatan).
Kadar sewa: Pada masa tu RM180++ (kadar promosi)
Contact: www.ulekbeachresort.com , tel. +609-8481100

Thursday, June 26, 2008

Kulit Lain Warna Tapi HATI Sama

Bismillah...

Ungkapan biasa dalam peribahasa Melayu "rambut sama hitam hati lain-lain". Tapi saya nak utarakan suatu yg berbeza susulan apa yang Allah takdirkan berlaku ke atas saya baru-baru ini. Suatu keadaan yang agak cemas tetapi berakhir dengan "happy ending" bahkan sungguh bermakna apabila saya renungi dengan HATI yang bersih tanpa prajudis.

Isnin 23 Jun, kira-kira jam 2.30 ptg "ba'da Zuhr" (selepas solat Zuhur) saya memandu keluar kampus untuk menyerahkan cek kepada seorang peniaga Melayu yang membekal beberapa kipas angin utk surau kampus. Di samping itu dia juga bermurah HATI menyumbangkan tikar getah utk bilik solat. Saya dahulukan pembayaran guna cek peribadi kerana Bendahari surau belum siapkan cek, sedangkan saya dah bagi tahu pembekal tersebut bahawa pembayaran segera, no problem, kerana tak guna LO (local order) ofis. Jadi dia bagi harga spesel (harga cash).

Syahdan, adapun selepas itu, sebaik saja menghampiri kawasan parkir, saya membelok ke kiri ke laluan masuk yang agak curam (bertebing). Saya terlebih belok untuk memberi lebih ruang kepada sebuah kereta Avanza dari arah bertentangan. Tiba-tiba terdengar bunyi ..."gerrrg", bahagian bawah kereta saya tergesel. Saya cuba bergerak ke depan tapi gagal dan tersangkut. Sayapun turun memeriksa, rupa-rupanya tayar kiri tidak terjatuh tebing, tergantung kira-kira 1 kaki. Bahagian bawah kereta tersangkut di bendul jalan. Bendul tu rendah je sebab tu tak perasan semasa melepasinya.
"Sudah..." HATI saya mengeluh. Pandang kiri pandang kanan cuba mencari sesuatu, saya ternampak panel kayu alas barang kilang yang dah lusuh. Saya tarik dan letak di bawah tayar kiri yang tergantung tu. Kemudian cuba bergerak ke depan tapi gagal, rupa-rupanya tayar tak cukup "grip" ke kayu tadi.

Tak lama lepas tu, datang dua orang lelaki (seorang daripadanya seperti India Muslim) menghampiri, menunjukkan simpati, ingin menghulurkan bantuan. Yang menariknya, saudara India Muslim tu berkata "Bang, semalam kereta saya dah kena macam ni kat sinilah". Seorang lagi menambah "Dah banyak orang kena, tak de penghadang, orang tak perasan". Lega sikit rasa HATI, rupa-rupanya kes biasa. Taklah rasa kantoi dan bengang. Tapi masalah belum selesai.

Para simpatisan dan penonton makin ramai. Mungkin sesetengah daripada mereka tengah mencari idea untuk membantu. Ada yang mencadangkan supaya pinjam "jack" daripada kedai servis tayar berdekatan.

Datang lagi beberapa orang yang tertarik dengan insiden itu termasuk seorang pemuda Cina berpakaian agak kemas, berkemeja lengan panjang yang disingsing ke siku. Dia menyapa saya "Sangkut ye?" Sambil memanjangkan lehernya meninjau-ninjau mencari sesuatu.

Kemudian pemuda itu menuju ke seberang jalan, dia terlihat sebatang kayu beluti. Dia mengambil dan menjulang batang kayu itu yang panjangnya kira-kira 5 kaki, lalu diletak di atas panel kayu tadi, betul-betul di bawah tayar. Lepas itu dia menolak-nolak kayu tadi hingga betul-betul rapat ke tayar.

"Encik, cuba jalan ke depan" Dia meminta saya memandu. Saya masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Orang ramai memerhati ke tayar kiri kereta saya. Kedengaran beberapa orang berkata "OK boleh, perlahan-lahan".

Pemuda Cina itu berdiri di sebelah kiri kereta sambil memberi arahan. Sementara saudara India Muslim di depan juga memberi panduan dan isyarat dengan tangan, macam rally Camel Trophy lagaknya. "Bismillah... " Saya menekan pedal dengan cermat dan berhasil menggerakkan kereta perlahan-lahan. Akhirnya dapat keluar daripada situasi sulit itu, alhamdulillah. Tambahan pula kereta saya tidak mengalami sebarang kerosakan.
"Terima kasih, terima kasih" Sambil bersalam dengan mereka yang membantu.
Selepas balik ke rumah sambil bercerita insiden itu kepada Makngah, saya membuat refleksi. HATI saya terasa ada sesuatu yang manis dan bermakna di sebalik insiden "cemas" itu yang dapat diselesaikan dengan iradah Allah dalam tempoh yang singkat, sekitar 15-20 minit. Moral of the story;
i- bangsa Malaysia, tanpa mengira etnik dan warna kulit, mempunyai satu sifat yang sama iaitu baik HATI, sedia menghulurkan bantuan.
ii- Allah melorongkan pertolongan manusia kepada hambaNya yang dalam kesulitam yang mempunyai niat HATI yang baik (menolong orang lain) dan melakukan kerja yang baik.
iii-Berhati-hati ketika memandu sama ada perlahan atau laju.
Pakngah

Tuesday, June 24, 2008

Renungan Kehidupan - Sungai dan Batu

Pada Mei 2008 saya, Makngah dan anak mengunjungi janda di satu tempat dekat sempadan Selangor dengan Pahang. Makngah tak kesah...understanding. Mungkin juga kerana Janda tu Baik.
Alhamdulillah kami dapat sebuah chalet yang bagus 'banget', baru dibina, terletak di pinggir sungai (gambar) yang jernih dan bersih. Kadar sewanya berpatutan. Sesiapa yang berhajat bila sampai di sana tanyalah orang tempatan, chalet Tok Empat.
Tapi apa yang nak saya kongsi ialah sebuah refleksi yang terbit daripada renungan mata HATI yang dicurahkan dengan seikhlas HATI berkaitan dengan sungai dan batu yang dapat saya lihat setiap kali berada di beranda chalet.
Alangkah harmoninya; air, batu, tebing dan akar saling berfungsi membentuk lanskap indah. Air yang mengalir laju menerjah batu-batu menghasilkan buih serta deruman dan bunyi yang mengasyikkan.
Saya merenung dalam-dalam lalu membuat rumusan sebagai iktibar kehidupan;
- halangan dan cabaran (batu dan jeram)memberi nilai tambah kepada kehidupan dan perjuangan,
- halangan dan cabaran akan menghasilkan sesuatu yang indah jika dihadapi dengan positif dan tabah.
- sungai di hulu yang punya jeram dan batu serta berliku-liku lebih indah daripada di hilir yang mengalir tenang.

Pakngah.

Sunday, June 22, 2008

QALBUN

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.


Qalbun, Hati, Heart, hepa atau apa-apa lagi yang disebut oleh penutur pelbagai bahasa dunia adalah suatu yang abstrak walaupun punya maksud fizikal. Itulah uniknya HATI.


"Ala wa inna fil-jasadi mudghah... ala wa hiyal-qalb" (Hadith r. Bukhari & Muslim)


HATI; Raja diri, bala tenteranya ialah tangan, kaki, mata, telinga, mulut, kemaluan (maaf) dan ... Memanda Menterinya ialah Akal, penghasutnya ialah Nafsu

HATI; tempat nilaian Allah ke atas amal hamba-hambaNya.

HATI; tempat penyakit ; hepatitis, barah dan ... (doktor lebih arif)

HATI; sarang penyakit yang merosakkan amal dan hubungan manusiawi; riya', hasad, sombong, buruk sangka, `ujub, hubbul-jah (suka kemasyhuran), hubbul-ri'asah (gila kuasa), angau dan ...

Ini namanya Penyakit Hati yang boleh menyebabkan orang lain sakit hati dan tak kurang yang susah hati. Imam al-Ghazali menamakannya sebagai penyakit-penyakit batin. Sesetengah orang kita lain pulak pemahamannya bila disebut penyakit batin.


Suara Hati; kebiasaannya benar, membisikkan kebaikan dan kebenaran tetapi kerap kali diabaikan.

Baik Hati semua orang suka, Busuk Hati hendaklah dijauhi.

Keras Hati sifat kafir dan munafiq yang menolak kebenaran.

Memandang dengan biji mata menilai dengan Mata Hati.

"Jagalah Hati lentera hidup ini".


"Ya muqallibal-qulub thabbit qalbi `ala dinik wa `ala to`atik".


Inilah coretan pertama dan perkongsian sulungku di persada maya sebaik saja terciptanya blog sendiri. Termotivasi dek blog-blog yang aku kunjungi. Nak tulis buku belum cukup "modal", mungkin ruangan maya ini kan membajai benih dan menyuburkan "modal".


Semoga coretan-coretan yang bakal terpampang terbit daripada HATI ditulis seikhlas HATI, moga bisa (dg hidayah Allah) mengetuk HATI, menyiram dan membajai HATI semoga HATIku tidak mati juga mungkin dikongsi oleh pembaca-pembaca yang murah HATI. Kuharap tiada siapa yang terasa HATI. Akan kupujuk HATI ini jika mendapat respon yang menyakitkan HATI agar aku tabah dan cekalkan HATI.



Wallahu waliyut-taufiq