Thursday, April 23, 2009

Forum Perdana Ehwal Islam

Assalamu 'alaikum para pembaca dan pengunjung blog.

IPGM Kampus Temenggong Ibrahim, tempat saya menabur bakti & mencari rezki menjadi tuan rumah dan penganjur bersama satu program bualbicara tv yang 'popular' - Forum Perdana Ehwal Islam JAKIM/RTM pada 29 April 2009 bersamaan 4 Jamadil Awal 1430. Rakan-rakan dalam JK Pengelola telah bertungkus-lumus membuat persediaan dalam pelbagai aspek. Guru pelatih juga tak ketinggalan, turut memberi sumbangan tenaga. Ada yang menyusun kerusi ada yang menyiapkan dewan. Sementara kumpulan Nasyid Inspirasi giat berlatih. Alhamdulillah, semua pihak amat koperatif dan bersemangat.

Pada 27 April;
1- Persiapan dewan
2- 10.45 malam : Trailer OB van RTM & genset masuk kampus dan mengambil tempat di sebelah Blok C.

28 April;
1- Kakitangan Lestari (kontraktor RTM) memasang PA System dan peralatan pencahyaan.
2- Pemasangan set pentas; meja dan back-drop.
(Diselaras & dipantau oleh Penerbit Teknik (RTM)
3- Pemasangan set kamera.
4- Sekitar pukul 9.30 malam dijalankan raptai teknikal bagi menguji PA System, kamera dan lampu. Untuk itu, saya, Azhar dan Khairi diberi peluang sebagai ahli panel. Kumpulan nasyid juga turut terlibat. Boleh tahan sedap dan harmoni nyanyian serta kombinasi perkusi sehinggakan En. Dzul Hanafiah, Penerbit Forum, minta dirakam untuk RTM. Raptai malam tu agak lama, tamat sekitar 12 malam selepas berlaku "letupan kecil" pada kabel utama yang menyambungkan genset dengan sistem pencahyaan & PA...terlebih muatan bekalan elektrik agaknya.

29 April;
1- 8.15 pagi: Saya mempengerusikan satu mesyuarat ringkas untuk penyelarasan tugas yang melibatkan beberapa Jawatankuasa.
2- Mulai sekitar jam 10 pagi, krew RTM dan para petugas teknikal meneruskan kerja-kerja 'setting-up' dan uji-guna peralatan elektrik dan rakaman.
3- 4.30 petang: Sesi perbincangan antara perantara Forum dengan 4 orang bakal penonton yang akan berinteraksi semasa Forum diadakan bertempat di Hotel M-Suites (tempat menginap para ahli panel & krewa penerbitan JAKIM).
4- 5.30 petang - 7.45 malam: Majlis bacaan Yasin, doa selamat & salawat serta jamuan dilangsungkan di surau kampus, Surau Jawahir.
5- 8.25 mlm.: Majlis pra-forum di Dewan Seri Temenggong. Pengarah IPGM Kampus Temenggong Ibrahim, Hj. Mohd Said Hasran menyampaikan ucapan alu-aluan.
6- 9.30 malam: Rakaman Forum bermula, terlewat daripada jadual kerana masalah teknikal. Malangnya tak berapa lama lepas itu tergandala pula. Mikrofon salah seorang ahli panel buat hal. Dekat pukul 10 dapat diteruskan, alhamdulillah. Majlis tamat sekitar pukul 12.25 pagi selepas dua sesi rakaman dijalankan.

Syukur kepada Allah, hasrat kami Allah kabulkan bahkan dipermudahkan melalui tajaan Bank Islam.

Sesungguhnya kami amat teruja. Apa tidaknya, inilah kali pertama (sepanjang pengetahuan saya) sebuah IPGM atau dulunya maktab perguruan mendapat peluang menjadi tuan rumah dan penganjur bersama program agama yang "high impact". Tambahan pula program tersebut mendapat penajaan daripada Bank Islam.

Program tersebut memberi sekurang-kurangnya 2 ilmu; (i) ilmu berkaitan isi kandungan forum yang dibincang oleh para ahli panel, (ii) ilmu & pengalaman melihat proses rakaman rancangan tv dijalankan.

Terima kasih kepada Tn. Pengarah, rakan-rakan AJK, krew JAKIM, RTM, para penyumbang dan semua pihak yang terlibat menjayakan program Forum tersebut.

InsyaAllah saya akan cuba muat naik beberapa foto.



Sunday, April 19, 2009

"Allhumma Ajirna Minan-Nar"

Suatu kepercayaan dalam diri setiap muslim ialah kewujudan syurga dan neraka yang sedia menanti bakal penghuni-penghuninya. Kita semua mempercayainya cuma...sedalam mana keyakinan itu atau seteguh mana kepercayaan itu yang berbeza antara kita. Tapi satu perkara yang lebih utama ialah sejauh mana kepercayaan dan keyakinan itu 'menolak' atau memotivasikan kita mentaati perintah Allah dan RasulNya S.A.W. Sesungguhnya pengetahuan atau ilmu semata-mata tidak bermakna tanpa amal dan penghayatan.

Saya ingin berkongsi beberapa perkhabaran daripada wahyu Ilahi tentang neraka serta keadaan penghuninya.

i- Zaqqum - makanan mereka.
Firman Allah: "Adakah tempat di syurga itu lebih baik ataupun pohon zaqqum. Sesungguhnya Kami jadikannya fitnah (musibah) bagi mereka yang zalim. Sesungguhnya pohon zaqqum itu tumbuh daripada dasar neraka. Mayangnya seperti kepala syaitan (buruk dan menggerunkan). Sesungguhnya mereka pasti memakannya lalu memnuhi perut-perut mereka. Kemudian, sesungguhnya mereka meminum air neraka yang sangat panas". (Surah al-Saffat:62-67)

ii-Cairan tembaga minuman mereka.
"Sesungguhnya Kami sediakan neraka untuk kaum zalim, mereka dikepung oleh gejolak apinya. Jika mereka meminta minuman mereka diberi air (yang teramat panas) seperti cairan tembaga yang menghanguskan muka. Itulah seburuk-buruk minuman dan seburuk-buruk tempat". (Surah al-Kahf:29)

(bersambung...maaf tak sempat)

Saturday, April 18, 2009

Lain Yang Nak Lain Yang Dapat

Dua tiga bulan ni saya sibuk berulang-alik ke beberapa sekolah membimbing guru-guru pelatih j-QAF yang sedang menjalani praktikum. Begitulah resam kami para pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Malahan sebahagian daripada mereka lebih sibuk daripada saya membimbing bakal pendidik pencorak generasi akan datang.

Dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), guru pelatih akan memulakannya dengan set induksi disusuli dengan langkah-langkah perkembangan isi dan diakhiri dengan penutup atau rumusan. Kebiasaannya kebanyakan guru pelatih pening kepala untuk mencari & melaksanakan set induksi yang sesuai, menarik dan bermakna.
Pada hari Rabu lalu saya menyelia P&P seorang guru pelatih yang mengajar Bahasa Arab Tahun 1. Saya kira dia telah membuat persediaan yang rapi apatah lagi itu merupakan penyeliaan terakhir. Apa yang menarik dan ingin saya kongsikan ialah set induksinya...
Dia mengeluarkan sebiji buah dadu mainan yang sederhana besarnya, comel dan berwarna-warni. Kelihatan murid-murid tertarik.
"Cantik tak benda ni murid-murid?" Dia bertanya.
Mereka menjawab riuh "Cantiiik".
Guru pelatih tadi bertanya soalan susulan "Tahu tak apakah benda ini?"
Lagi sekali murid-murid menjawab beramai-ramai "Daduuu".
"Apa yang ada pada dadu, murid-murid?" Sebahagian mereka menjawab titik-titik dan sebahagian menjawab nombor.
Dia bersetuju dengan mereka "Ya dadu ada titik atau nombor".
Saya, di belakang kelas, tercari-cari nombor pada dadu itu yang sebenarnya hanya ada titik-titik mewakili 1 hingga 6. Kemudian dengan aplikasi PowerPoint dia memaparkan judul pelajaran..."الأعداد " pada layar lalu membacanya, "Al-A'adadu". Murid-murid mengikut bacaannya
"Al-A'adadu" Riuh sekelas.
Selepas itu dia bertanya mereka "Tahu tak kamu apa erti al-a'adadu yang kita nak belajar hari ini murid-murid?" Dengan penuh yakin mereka menjawab "Dadu"
Saya tersenyum sendirian dengan jawapan selamba murid-murid itu yang cuba meneka erti kalimat dengan klu persamaan bunyi, tapi saya pasti itu bukan jawapan yang dikehendaki. Dia kelihatan "terkantoi" dengan respon mereka.
Segera dia membetulkan jawapan mereka "Bukan dadu,
al-A'adadu itu ertinya nombor, kita nak belajar nombor atau bilangan".

Itulah satu episod yang menarik perhatian saya untuk menulis refleksi ringkas.

Sebenarnya guru pelatih tadi telah memilih objek yang amat sesuai dan menarik tapi 'terkucil' di saat kemuncak akibat silap teknik atau mungkin silap soal...lain yang dimaksudkan lain pula yang dapat.

Wahai para bakal guru, teruskan usaha anda mencapai yang terbaik, usah putus asa. Tenangkan fikiran tabahkan hati dan jangan lupa berdoa kerana Allah jualah yang mengurniakan kefahaman dan taufiq kepada anak-anak didik anda. Semoga titik peluh dan titik 'air liur' anda yang terhambur dihitung sebagai pahala.