Wednesday, May 13, 2009

Refleksi Forum: "IRADAH ILAHIYAH"

Apa yang meruntun QALBU dan minda saya dalam refleksi berkaitan program forum ini ialah keagungan "iradah Ilahiyah". Apabila saya merenungi menyusuri rentetan dua program penting sebelum forum yang saya terlibat menguruskannya, iradah Ilahiyah ini yang singgah di QALBU saya. Program yang dimaksudkan ialah Karnival KAGUM IPGM Kebangsaan dan Konvokesyen IPGM Kampus Temenggong Ibrahim.

Apakah kaitan program tersebut dengan penganjuran Forum? Saya melihat keterlibatan saya secara langsung dalam kedua-dua assignments itu sebagai susunan Allah
yang memberi peluang kepada saya membina keyakinan dan keupayaan mengurus dan juga menyelaras untuk menghadapi tugas yang lebih besar, Forum Perdana.

Perkara kedua ini pula lebih menyerlahkan hakikat iradah ilahiyah mengatasi perancangan dan hasrat manusia. Dalam perancangan induk 2009 Kampus Temenggong Ibrahim, Majlis Sambutan Maulidur Rasul tahun ini akan dijadikan satu platform atau wadah meningkatkan hubungan dengan komuniti setempat. Untuk itu, Forum Perdana dilihat lebih sesuai. Lanjutan daripada itu, sepucuk surat diutus kepada Pengarah Bahagian Media dan Penyiaran JAKIM dengan menawarkan tarikh 27 Mac tetapi pihak JAKIM tiada kekosongan sehingga hujung Jun. JAKIM mencadangkan 25 Jun. Jika begitu, forum itu tidak lagi sesuai dikaitkan dengan sambutan Maulidur Rasul kerana sudah mencecah bulan Rejab.

Kami berasa agak lega dengan tarikh itu kerana punya lebih masa untuk membuat persediaan terutamanya aspek kewangan. Apa tidaknya,
kos penerbitan Forum melebihi RM80,000 seperti yang diberitahu Penerbit Forum, En. Dzul Hanafiah. Ia meliputi kos "production" dan kos "air-time". Jika dicampur kos jamuan, penyediaan tempat dan lain-lain pasti melebihi RM90K. Kami amat terkejut seperti kata sesetengah orang 'terkejut beruk' bila dengar kos mega tu. Di mana nak digali. Tapi Pengarah saya tetap optimis untuk menganjurkannya, katanya "Ustaz buat kertas kerja, kita cuba mohon daripada BPG, kalau ada rezki nasib baik kita dapat, separuhpun tak apa".

Allah Maha Kaya (al-Ghaniy) lagi Maha Menghendaki. Dia 'menyalurkan' rezkiNya melalui Bank Islam untuk kami menjayakan program dakwah mega seperti yang diberitahu oleh En.
Shahar, Pegawai Pemasaran RTM. Soal ongkos dah 90% selesai dengan iradah Allah sebelum sempat saya menyiapkan kertas kerja dan merangka strategi mencari dana. Itulah iradahNya mengatasi iradah hamba.


Satu perkara lagi, Allah juga telah menyempurnakan hasrat awal kami untuk menganjurkan forum tersebut bersempena sambutan Maulidur Rasul - pada 4 Rabiul Akhir, masih ada bahang Maulid - walaupun pada mulanya JAKIM memberikan tarikh 25 Jun (bulan Rejab). Sesungguhnya Allah memudahkan dan memberi laluan ke arah itu.

Apa yang ironinya,
tarikh baru, 29 April (4 Rabiul Akhir) itu diperolehi secara mendadak semasa kunjungan En. Dzul, En. Shahar ke kampus Temenggong Ibrahim (TI) pada 8 April untuk meninjau lokasi. Sebenarnya hari itu cuti am dan sehari sebelumnya kampus TI baru selesai konvokesyen, tetapi 'kebetulan' Pengarah berada di pejabat kerana ada urusan. Saya tidak melepaskan peluang lalu membawa tetamu-tetamu penting TI bertemu Pengarah. Maka berlangsunglah perbincangan awal yang pada mulanya tidak dirancang dan tidak dijangka berkaitan penganjuran dan persiapan forum termasuklah tarikh baru. Tarikh itu dipilih oleh En. Dzul memandangkan tim teknikal & rakaman luar RTM berada di Plaza Angsana Johor Bahru untuk Minggu Amanah Saham pada minggu yang sama.

Itulah yang dikatakan takdir, apabila Allah menghendaki sesuatu Dia akan menyediakan laluan dan asbab untuk terlaksana takdirnya. Subhanallah wal-hamdu lillah. Kita selaku hambanya yang kerdil yang mukallaf diwajibkan merancang dan berikhtiar sebaik mungkin serta bertawakkal kepadaNya.

Ya Allah, sesungguhnya daku amat bersyukur kepadaMu. Ya Allah, Dikau telah mengabulkan doaku juga doa dan hasrat kami warga kerja kampus Temenggong Ibrahim. Kami menginsafi kekerdilan kami dan keagungan qudrah dan iradahMu.

(Maaf, forum dah lama selesai tapi baru masuk entri ni. Sebenarnya saya ambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya sejak 13 Mei tapi baru selesai pada hari ini 23 Mei)


Monday, May 11, 2009

Refleksi Forum

Assalamu 'alaikum.

Apabila saya mendapat panggilan telefon yang ketiga daripada En. Shahar (RTM) yang memberitahu bahawa Bank Islam sudi menaja sepenuhnya produksi dan penyiaran (air time) Forum,...gumbiranya rasa hati... tak terkira, bak kata orang, senyum bibir sampai ke telinga. Apa tidaknya, soal biaya utama (mencecah RM80K) sudah beres. Dia bertanya , "Macamana ustaz jadi ke nak buat forum kat IPTI?"

Saya fikir sejenak, bukan apa, saya kena beri jawapan yang besar implikasinya sedangkan kata putus sebetulnya pada Pengarah. "Emm...ok lah jadi, jadi, tapi nanti saya tanya Pengarah saya dulu". "`Ala kulli hal, terima kasih, kecik tapak tangan padang IPTI kami tadahkan"

Lepas itu, saya terus mendail nombor HP Pengarah dan menjelaskan kepadanya tawaran tadi. Beliau dengan yakin dan gembira memberi respon, "Ok ustaz, kita terima, jadi jangan tak jadi. IPTI boleh". Maka bermulalah fasa realiti cadangan Forum Perdana di kampus Temenggong Ibrahim.

Sehari dua selepas itu, otak dan qalbu saya membuat refleksi. Menyusuri rentetan peristiwa dan tugas yang saya telah terlibat dalam tempoh dua bulan sebelum tarikh Forum... (bersambung)


Jika anda ingin melihat beberapa foto-foto pada malam Forum sila kunjungi laman aljawahiripti.blogspot.com.

Kalau tak de wajah anda dalam mana-mana foto tu...sabor je le ye.

Saturday, May 9, 2009

Foto Forum (persediaan)


Mesyuarat teknikal bersama Penerbit (JAKIM) , krew teknikal RTM, wakil Bank Islam (penaja utama) serta wakil Majlis Bandaraya Johor Bahru bertempat di Bilik Gerakan Dato Mahpor.
















Krew RTM & pembekal teknikal memasang lampu, 'backdrop' & kamera.










Rehersal nasyid & forum utk menguji sistem pembesar suara, lampu & kamera