Wednesday, January 7, 2009

GHAZZAH OH GHAZZAH! Doa Untukmu

Ya Allah Ya Muntaqim Ya Qawiy Ya Qahhar,
Dari kejauhan ini kami hanya mampu menadah tangan-tangan cemar ini,
merafakkan doa dan rayuan kepada-Mu, untuk saudara-saudara kami
di Ghazzah, Palestin.
Sesungguhnya Dikau Maha Perkasa, Maha Memaksa dan Maha Sempurna.

Ya Allah lindungilah mereka daripada keganasan dan kejahatan Yahudi Zionis,
Tambahkan kekuatan kepada kekuatan mereka, satukanlah saf-saf mereka serta teguhkanlah ketabahan dan tawakkal mereka kepada-Mu.
Ya Allah jadikanlah batu-batu yang dilontar oleh anak-anak Palestin peluru dan bom
yang memusnahkan tentera Yahudi, sesungguhnya kehendakMu tiada yang dapat
menghalangnya.

Allahumma, hancur leburkanlah tentera dan senjata Israel, pulangkan peluru dan bom mereka ke atas mereka sendiri. Ya Allah Dikau pecah-belahkan hati-hati mereka, goncangkan pendirian dan kedudukan mereka serta utuskanlah ke atas
mereka bala tenteraMu, Ya Allah Ya Qawiy.
Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.

Friday, December 26, 2008

Doa Walimatul 'Arus

Assalamu 'alaikum.
Sudah menjadi lumrah masyarakat Melayu/Islam di Malaysia (mungkin juga Singapura & Berunei) mengambil kesempatan cuti sekolah pada bulan Dis. mengadakan majlis walimatul 'arus. Biasanya pembukaan majlis didahului dengan doa selamat. Saya sendiri pernah beberapa kali diminta memimpin bacaan doa (ada juga permintaan mengejut - on the spot). Saya rasa molek rasanya saya mencatat dalam ruangan ini rangkap-rangkap doa yang sempat dikarang untuk satu walimatul 'arus baru-baru ini.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين الذي خلق الأزواج كلها، والصلاة والسلام على سيدنا محمد سيد المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ya Allah Ya Rahim, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Tuhan Yang mentadbir seluruh alam maya, Yang Maha mendengar rayuan dan doa hamba-hambaNya. Ya Allah, sesungguhnya tiada sesuatu yang berlaku melainkan dengan iradahMu jua.
Ya Allah Ya Halim Ya Wadud. Sesungguhnya Dikau Maha mengetahui bahawa hati-hati kami dan kedua-dua mempelai ini bertemu dan berhimpun kerana mencintaiMu, mentaatiMu, bersatu memikul amanah dakwah warisan RasulMu s.a.w. sera mendokong syariatMu. Justeru itu, Ya Allah eratkanlah tautan hati-hati ini, kekalkan kemesraannya, limpahkanlah ia dengan nur rabbani yang tak kunjung padang, lapangkanlah ia dengan limpahan keimanan dan tawakkal yang jitu kepadaMu dalam segala situasi dan semua urusan.

Ya Allah, dengan rahmat dan kasih sayangMu, satukanlah hati pasangan pengantin yang kami raikan ini dengan ikatan iman dan taqwa. Curahkanlah ke dalam hati sanubari mereka mawaddah, kasih sayang yang tulus keranaMu. Naungilah rumahtangga mereka dengan payung rahmat dan pemeliharaanMu yang berterusan. Hindarilah daripada mereka hasad dengki, khianat, permusuhan dan pertelingkahan. Ya Allah Dikau jadikanlah rumahtangga mereka keluarga sakinah yang subur dengan amal solih, ma'ruf dan dakwah.

Allahumma Ya Hadi Ya Ghani, kurniakanlah kepada mempelai ini dan juga kami limpahan rezki yang barakah dan zuriat yang solihah yang menjadi jambatan ridhaMu serta taqarrub kepadaMu dan bukannya yang melalaikan serta menjauhkan kami daripadaMu dan syurgaMu.

Ya Allah, ampunilah tuan rumah majlis ini serta keluarganya dan sempurnakanlah hajatnya, kurniakan mereka rezki yang halal lagi berkat. Amin ya Rabbal 'alamin.

Monday, December 8, 2008

Selamat Hari Raya Qurban

Assalamu 'alaikum, 'Aid Mubarak,
Kita qurban kambing dan lembu untuk ridha Allah,
Kita urus qurban kerana Allah,
Kita turun tangan pegang tali lembu, lapah kulit lembu dan takek
tulang lembu ikhlas lillah ta'ala.

Kita meriah potong daging,
Kita gembira bungkus daging,
Kita sibuk agih daging,
Kita meriah masak daging,
Kita seronok bagi orang makan daging...
Kerana ikut Sunnah Nabi Tercinta S.A.W,
ikut amalan Nabi Ibrahim A.S

Ingatlah...
kemeriahan qurban bukan pesta daging-dagingan,
bukan budaya perayaan...
bukan keseronokan menumbang haiwan ternakan.

Saturday, September 27, 2008

Muhasabah Ramadhan

Ramadhan makin menghujung, saya RUGI dan RUGI jika...
  1. berpuasa hanya sekadar adat dan ikut-ikutan bukan ibadat dan keimanan
  2. berpuasa kerana orang bukan ikhlas Lillahi ta'ala.
  3. ambil ringan solat Tarawih... bulan-bulan mendatang dah tak ada lagi.
  4. tahan berpuasa 13 jam tapi tak solat fardhu yg hanya 5-6 minit.
  5. menahan perut daripada makan dan minum tapi tak menahan lidah daripada umpat dan nista.
  6. tidak mengawal diri daripada dosa dan maksiat.
  7. tidak bertambah kuantiti dan kualiti tilawah Quran.
  8. sibuk membanyakkan juadah daripada menambah ibadah.
  9. tidak banyak berdoa sedangkan Ramadhan bulan mustajab doa.
  10. lebih mimikirkan kemeriahan raya daripada kesempurnaan puasa.

"Ya Allah terimalah segala amal kami dan pertemukanlh kami dgn Ramadhan lagi"

SELAMAT MENYAMBUT 'AIDIL FITRI, Taqabballahu minkum"

Tuesday, September 2, 2008

MARHABAN YA RAMADHAN

Alhamdulillah, kita diberi peluang oleh Allah Al-Rahim bertemu Ramadhan lagi pada tahun ini, dipanjangkan usia diberi kesihatan mampu berpuasa & bertarawih. Insaflah bahawa ramai yang telah "dijemput" Allah sebelum Ramadhan menjelang walaupun kelihatan sihat dan cergas. Kami amat bersyukur kepada Mu, ya Allah.

Secebis peringatan sebagai tausiyah untuk HATI ini dan yang ingin berkongsi berkaitan Ramadhan.
1) Ramadhan bulan seribu keistimewaan kerana ia berbeza daripada bulan-bulan lain. Dalam Hadith riwayat al-Tirmizi daripada Salman al-Farisi dilaporkan bahawa baginda s.a.w. berkhutbah menghuraikan keistimewaan Ramadhan secara agak terperinci. Bila membacanya, terdetik di HATI ini;
- memang dimaklumi Ramadhan istimewa, berbeza, bulan barokah...tapi ia tidak memberi apa-apa makna atau sesuatu yang signifikan jika sekadar maklum atau tahu. Sesungguhnya Nabi s.a.w. tidak bermaksud untuk sekadar memberi tahu kerana baginda bukan wartawan atau tok batil (tukang cerita).
- kita berada di bulan istimewa sepatutnya kita juga menjadi istimewa,
- kita diberi peluang bersama bulan barokah seharusnya kita mendapat barokah,
- kita berpuasa pada bulan yang berbeza daripada bulan-bulan lain sewajarnya kita menunjukkan prestasi amal dan penghayatan Islam yang berbeza (lebih baik);
= jika dulu jarang solat berjemaah maka kini kerap bahkan setiap waktu.
= jik dulu solat sunat rawatib tidak diambil berat, maka kini berazam untuk
tidak diabaikan.
= jika dulu tak mengaji Quran maka kini mengaji. Kalau kurang mengaji
dilebihkan.
= jika dulu sedekah seringgit kini ditambah dan dikerapkan.
= jika bulan-bulan lepas mulut macam tak ada "filter" maka sekarang kena
pasang filter tebal biar ditapis kata-kata sia-sia, dosa, umpat, lucah etc.
= jika sebelum ini tak segan-segan mendedah aurat, maka pada bulan yang
berbeza ini berazamlah untuk segan dan malu jika tidak menutup aurat
serta berdoa untuk diberi taufiq melaziminya.
Semoga kita dimasukkan Allah ke dalam golongan orang bertaqwa dan memperolehi 1001 kebaikan Ramadhan.
2) Fikir-fikir dan hindarilah daripada;
- siang shopping di BAZAR, malamnya BAZIR
- siang PUASA, malam melantak PUAS-PUAS
- orang berTARAWIH awak TERLEWEH
- ada orang tidak dapat bepuasa kerana GASTRIK tapi awak JUST TRICK