السلام عليكم
Ana (saya) ingin berkongsi saranan imam-imam soleh terdahulu berhubung cara & langkah mendidik anak atau kanak-kanak hasil daripada pembacaan ringkas ana daripada kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin karya Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi. Kitab tersebut merupakan ringkasan bagi kitab Minhaj Al-Qassidin karya Ibnu al-Jauzi yang merujuk dan membuat saringan kitab Ihya' Ulumiddin.
Sekiranya anak-anak diasuh dan dididik dengan kebaikan mereka akan membesar dalam aturan yang baik. Ibu bapa dan pendidiknya akan sama-sama mendapat pahala. Sebaliknya jika diasuh dengan dengan kejahatan, mereka akan membesar dalam kejahatan dan mungkar. Dosa itu akan turut ditanggung oleh orang yang menjaga atau mendidik.
Lantaran itu, anak hendaklah dijaga dan dididik dengan akhlak yang baik. Dia hendaklah dijauhkan daripada kawan-kawan yang jahat. Tidak seharusnya dibiasakan dengan bermacam-macam keseronokan dan segala bentuk kemewahan supaya kelak dewasa dia tidak tertumpu kepada mencari keseronokan dan kemewahan.
Berikut adalah langkah-langkah awal pendidikan kanak-kanak yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dan pendidik.
1. Mencari pengasuh dan ibu susuan (jika perlu) daripada kalangan wanita solehah yang beramal dengan ajaran Islam serta mengambil berat tentang halal dan haram dalam makanan kerana susu yang terhasil daripada sumber yang haram tiada barakah.
2. Sifat pertama yang mula menguasai kanak-kanak ialah lahap terhadap makanan. Oleh itu dia mesti diajar adab-adab makan. Sesekali dia mesti dilatih memakan roti sahaja tanpa kuah atau kaya agar tidak timbul anggapan bahawa makan roti itu semestinya dengan kuah atau kaya. Kanak-kanak juga perlu diberi gambaran buruk tabiat lahap atau banyak makan diumpamakan seperti haiwan.
3. Anak-anak lelaki dilatih supaya suka memakai pakaian putih, bukan yang kotor dan sutera (bagi lelaki).
4. Dilarang bergaul rapat dengan rakan-rakan yang yang terasuh dengan kebiasaan bermewah-mewah atau berseronok-seronok.
5. Diajar Al-Quran, Hadis dan kisah-kisah orang soleh agar tertanam dalam hatinya perasaan kasih dan hormat kepada golongan solihin.
6. Janganlah mengajarnya menghafal rangkap-rangkap puisi dan nyanyian cinta yang mengasyikkan dan melalaikan.
7. Apabila kanak-kanak tersebut menunjukkan akhlak dan perbuatan terpuji, hendaklah diberi penghargaan dengan sesuatu yang menggembirakannya serta boleh diberi pujian di depan orang lain.
8. Sekiranya dia lalai dan melakukan kesalahan, janganlah diungkit-ungkit dan didedahkan. Namun jika dia mengulanginya, hendaklah ditegur secara bersendirian serta diingatkan bahawa orang ramai mungkin mengetahui perbuatannya itu. Walaupun begitu, janganlah terlalu banyak atau kerap menegur dan memarahinya (berleter) kerana itu boleh menjadikannya lali mendengar teguran.
Semoga kita memberi perhatian yang serius kepada tunas generasi akan datang yang akan mewarisi nama baik kita, harta benda kita dan yang lebih penting agama kita.
Sunday, December 5, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)